top of page

Perdana Menteri sambut baik gencatan senjata Thailand–Kemboja

  • nabalunews
  • 13 minutes ago
  • 1 min read

ree

27 Disember 2025


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik persetujuan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand yang berkuat kuasa pada 12 tengah hari (waktu tempatan) hari ini.


Beliau berkata, keputusan kedua-dua negara untuk menghentikan pertempuran dan mengekalkan kedudukan pasukan masing-masing mencerminkan kesedaran bersama bahawa sikap menahan diri amat diperlukan, khususnya demi kepentingan orang awam.


“Kenyataan Bersama yang dipersetujui turut menggariskan langkah-langkah praktikal dan positif, termasuk pelaksanaan proses pengesahan oleh Pasukan Pemerhati ASEAN serta pengukuhan komunikasi secara langsung antara pihak berkuasa pertahanan kedua-dua negara.


“Langkah-langkah ini menyediakan asas kepada kestabilan dan saya berharap kedua-dua pihak akan melaksanakannya dengan penuh komitmen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Dalam pada itu, beliau turut menegaskan komitmen Malaysia untuk terus menyokong segala usaha memastikan persetujuan tersebut dipatuhi meskipun akan menyerahkan kepengerusian ASEAN kepada Filipina bermula tengah malam 1 Januari 2026.


Menurutnya, sokongan berterusan itu penting bagi memelihara prestij dan kredibiliti ASEAN sebagai sebuah rantau yang aman dan stabil.


Terdahulu, media melaporkan Thailand dan Kemboja menandatangani persetujuan gencatan senjata untuk menamatkan pertempuran sengit di sempadan yang berlarutan beberapa minggu.


Persetujuan itu dicapai selepas rundingan selama tiga hari antara kedua-dua negara jiran Asia Tenggara susulan ketegangan yang memuncak sejak awal Disember lalu sehingga mengorbankan puluhan nyawa dan memaksa ribuan penduduk berpindah.


Pertempuran yang tercetus awal bulan ini berpunca daripada pertikaian wilayah berlarutan, dengan kedua-dua pihak saling menuduh melancarkan serangan terlebih dahulu.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page