- Wartawan Nabalu News
Perintah berkurung di Esszone akan dikaji semula - Ketua Polis Negara
16 Mei 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Polis dan Esscom mencadangkan agar kawasan pelaksanaan perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) diperkecil dan digantikan nama sebagai Kawasan Pergerakan Terhad di kawasan tertentu.
Cadangan itu dibuat selepas mesyuarat operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di Tawau semalam, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Beliau berkata, cadangan itu bertujuan untuk menyesuaikan dengan keperluan semasa dan tahap keselamatan di kawasan berkenaan.
“Buat permulaan, kita akan mencadangkan agar kawasan perairan Tawau dikeluarkan daripada perintah berkurung berkenaan kerana kita yakin kawalan keselamatan di perairan daerah itu memuaskan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Perumahan Balai Polis Inanam yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ruji Ubi hari ini.
Acryl Sani berkata, walaupun tiada lagi kes penculikan di kawasan pantai timur Sabah sejak lebih tiga tahun lepas, namun pelaksanaan perintah berkurung masih tetap diperlukan untuk menghalang ancaman pengganas.
“Kejadian-kejadian seperti penculikan tidak berlaku disebabkan adanya perintah berkurung dan kawalan keselamatan ketat pihak Esscom,” katanya.
Tambah beliau, terdapat tiga kawasan yang masih menjadi kawasan panas kerana sempadannya berhampiran dengan negara jiran, iaitu Sandakan, Lahad Datu dan Semporna.
Beliau juga berkata, sebelum ini dua kawasan telah dikeluarkan daripada perintah berkurung, iaitu Kudat dan Kota Marudu.
Perintah berkurung di kawasan perairan Esszone melibatkan jarak tiga batu nautika dari 6 petang hingga 6 pagi setiap hari. Kawasan itu meliputi Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
Commenti