Perjanjian kredit karbon Sabah: Saman ditangguhkanPerjanjian kredit karbon Sabah: Saman ditangguhkan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Perjanjian kredit karbon Sabah: Saman ditangguhkan


3 Jan 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Saman terhadap perjanjian kredit karbon yang menjadi kontroversi iaitu Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA) di Sabah masih menunggu hujahan defendan untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi, lapor Malay Mail.


Defendan telah meminta lanjutan untuk mengemukakan afidavit mereka ke atas perjanjian yang sepatutnya dijadualkan untuk di e-semak hari ini.


Menurut Bekas senator dan aktivis hak orang asal Adrian Lasimbang, peguam mereka, Christine Gloria Linus, bersetuju ke atas lanjutan itu.


Adrian yang memfail saman itu pada 29 November berkata, afidavit yang dikemukakan oleh peguam defendan menunjukkan mereka tidak ada bantahan terhadap penghujahannya.


Tambahnya, mereka juga bersetuju untuk mematuhi tuntutan itu namun berkeras agar dokumen itu tidak sepatutnya didedahkan kepada umum.


Saman itu juga menuntut dokumen penting yang menunjukkan hak ke atas kawasan tepat yang telah diberikan kepada pihak ketiga dalam perjanjian itu, Hoch Standard, daripada Ketua Konservator Hutan.


Mereka diwakili peguam Peter Lee. Hakim kes itu ialah Ismail Brahim. Walau bagaimanapun tarikh masih belum ditetapkan untuk pendengaran.


Mengulas lanjut, Adrian berkata beliau meminta dokumen itu agar beliau boleh menentukan sama ada perjanjian itu akan memberi kesan kepada hak adat anak negeri.


"Saya mengambil tindakan undang-undang kerana ia telah menjadi satu-satunya cara bagi rakyat Sabah untuk mendapatkan penjelasan mengenai perjanjian ini dan kesan kepada rakyat kita untuk seratus tahun akan datang," katanya.


Perjanjian kontroversi itu bertujuan memberikan hak kepada syarikat yang berpangkalan di Singapura itu untuk memasarkan dan meningkatkan pelaburan untuk modal alam di Sabah.


Perjanjian itu sering dipertikaikan kerana ia dipersetujui tanpa pengetahuan umum pada bulan Oktober lalu, selain pemilihan pihak ketiga yang akan mendapat potongan 30 peratus daripada perjanjian itu.


Perjanjian ini juga melibatkan sehingga dua juta hektar ladang hutan di mana kebanyakannya adalah Kawasan Terlindung Sepenuhnya.



bottom of page