Perjumpaan Madius dan Ewon serlahkan kematangan, fokus Wawasan UPKO
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Perjumpaan Madius dan Ewon serlahkan kematangan, fokus Wawasan UPKO


Madius dan Ewon.

6 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Madius Tangau mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden parti itu Datuk Ewon Benedick bagi membincangkan hal-hal parti dan isu-isu politik semasa.


Dalam paparan di laman facebook, Madius turut menyatakan menjemput Ewon untuk merasmikan mesyuarat agung tritahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Generasi Muda UPKO Bahagian Tuaran pada 12 Julai ini.


“Sembang-sembang dengan YB Datuk Ewon Benedick terkait hal-hal parti dan isu-isu politik semasa. Dengan izin Tuhan kita bina dan perjuangkan bersama Wawasan UPKO untuk menerajui Perjuangan Rakyat.


“Selaku Ketua Bahagian UPKO Tuaran, saya menjemput dia untuk merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan (MAT) Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Generasi Muda UPKO Bahagian Tuaran secara serentak pada 12 Julai 2022,” katanya.


Paparan tersebut mendapat reaksi positif terutama di kalangan ahli-ahli parti sekaligus menyerlahkan kematangan dan semangat kekeluargaan yang tinggi.


Apabila ditanya oleh wartawan Nabalu News mengenai pertemuan tersebut, Ewon menyifatkan ianya satu perjumpaan biasa tetapi mustahak kerana kedua-duanya akan menghadiri sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bulan ini untuk mengangkat isu-isu rakyat.


“Kami berbincang mengenai isu-isu yang akan dibawa ke sidang masing-masing terutama sekali cabaran dan bebanan rakyat akibat kenaikan mendadak kos sara hidup dan hal-hal berkaitan dengan hak-hak Sabah melalui Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan. Saya akan menyampaikan ucapan perbahasan saya bukan hanya mewakili rakyat Kadamaian, tetapi juga harus mewakili parti.


“Kami juga membincangkan saman pemula kami kepada Kerajaan Persekutuan berkaitan dengan pungutan 40% hasil persekutuan di Sabah yang akan didengar pada 14 Julai ini,” katanya.


Ditanya samada mereka membincangkan perkara berkaitan pemilihan parti, Ewon menyatakan perkara itu adalah sebahagian daripada hal-hal parti yang telah dibincangkan.


“Mesyuarat-mesyuarat agung di peringkat Bahagian sedang berjalan. Masih ada enam Bahagian yang akan bermesyuarat dan seterusnya Kongres UPKO akan diadakan.


“Kedua-dua kami bersetuju untuk menghormati pandangan dan keputusan yang dibuat oleh semua Bahagian. Yang pentingnya, fokus kita adalah kepada Wawasan UPKO sepertimana dalam perlembagaan parti dan bersama-sama terus mengangkat isu-isu rakyat dan hak-hak Sabah,” katanya.


Kongres UPKO tahun ini dijangka akan memperlihatkan pertandingan di Majlis Tertinggi termasuk jawatan Presiden di mana kedua-dua Madius dan Ewon merupakan calon terkehadapan untuk jawatan tersebut.

bottom of page