nabalunews
Perkhemahan Pengakap SK Kaung, Kota Belud 2024: Membentuk Generasi Pemimpin Masa Hadapan
23 November 2024
KOTA BELUD : Sekolah Kebangsaan (SK) Kaung, Kota Belud telah menganjurkan Perkhemahan Pengakap 2024 yang berlangsung di kawasan sekolah tersebut yang disertai oleh 47 murid Tahun 3 hingga Tahun 6, bersama 16 orang guru, 11 kakitangan sekolah, serta ibu bapa yang turut memberikan sokongan pada 20 hingga 22 November lalu.
Perkhemahan ini dianjurkan dengan matlamat untuk memberi peluang kepada setiap peserta merasai pengalaman menyertai program yang berteraskan kepimpinan dan kerjasama.
Antara objektif utama program ini termasuk membina semangat berdikari dengan melatih murid-murid agar dapat menyesuaikan diri dan menghadapi cabaran dalam kehidupan sebenar serta
meningkatkan kemahiran sosial dengan memupuk sifat bertanggungjawab, bekerja secara berpasukan, dan menghargai kerjasama dalam menyelesaikan tugasan bersama.
Perkhemahan ini juga mendidik murid-murid untuk menggunakan masa dengan bijak sambil menghargai alam semula jadi serta rezeki yang telah dikurniakan.
Sepanjang tiga hari perkhemahan, peserta telah menjalani pelbagai aktiviti menarik yang melibatkan pembelajaran secara praktikal.
Antaranya termasuk latihan asas kepimpinan yang membabitkan aktiviti berkumpulan untuk membina daya kepemimpinan dan keyakinan diri.
Turut diterapkan, kemahiran bertahan hidup berupa latihan mendirikan khemah, memasak di luar, dan penggunaan sumber alam secara optimum.
Selain itu, turut diadakan aktiviti rekreasi yang menekankan aspek kerjasama, komunikasi, dan strategi.
Bagi slot rohani dan motivasi, sesi renungan untuk membina sikap bersyukur serta meningkatkan keyakinan diri turut diberikan penekanan kepada peserta.
Aktiviti perkhemahan ini memberikan
impak positif kepada peserta di mana
murid-murid bukan sahaja dapat mempelajari kemahiran baharu, tetapi turut menunjukkan perkembangan positif dalam aspek keyakinan diri yang lebih tinggi dalam berkomunikasi dan menyelesaikan masalah.
Murid-murid juga kini lebih mempunyai
kesedaran terhadap tanggungjawab sosial melalui tugasan berkumpulan selain keterbukaan untuk menghadapi cabaran dengan minda yang lebih positif dan kreatif.
Guru Besar SK Kaung merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, termasuk ibu bapa yang memberi sokongan penuh kepada anak-anak mereka.
Beliau berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan untuk melahirkan murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek.
"Perkhemahan Pengakap ini bukan sahaja membina pemimpin masa hadapan, tetapi juga mendidik murid untuk menghargai nilai kehidupan sebenar dan menjadikan mereka lebih berdikari," tambah beliau.
Comments