top of page

Perlawanan Persahabatan Akademi Bola Sepak Bantu Asah Bakat Muda

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 1 min read

15 Mac 2026


KOTA KINABALU: Perlawanan persahabatan antara Tuubagu Football Academy dan Vipers Kinabalu International School melibatkan dua kategori umur iaitu bawah 10 tahun (B-10) dan bawah 12 tahun (B-12) membawa manfaat besar kepada pembangunan sukan itu di Sabah.


Perlawanan persahabatan antara kedua-dua akademi itu sekali gus memberi peluang kepada para pemain muda mempraktikkan kemahiran yang dipelajari sepanjang sesi latihan dalam suasana perlawanan sebenar.


Selain aksi pemain muda, program tersebut turut dimeriahkan dengan satu perlawanan persahabatan khas melibatkan ibu bapa daripada kedua-dua akademi.

Pengerusi Kelab Tuubagu Football Academy, Gideon Gadit berkata, inisiatif itu bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan tetapi juga pemangkin semangat kebersamaan antara komuniti.


Katanya, penganjuran perlawanan seperti ini memberi manfaat besar kepada perkembangan pemain muda selain menggalakkan penglibatan aktif ibu bapa dalam aktiviti sukan anak-anak mereka.


“Perlawanan persahabatan seperti ini sangat baik untuk pembangunan bakat bola sepak di peringkat akar umbi.

“Ia memberi peluang kepada kanak-kanak merasai pengalaman perlawanan sebenar serta membina keyakinan diri,” katanya.


Menurutnya, para pemain muda turut berasa teruja dengan kemudahan padang sintetik yang terdapat di Kinabalu International School.


Katanya, ia dilihat mampu menyokong usaha pembangunan bola sepak akar umbi di Sabah untuk melahirkan lebih ramai pemain berbakat.

“Kemudahan padang yang berkualiti sangat penting bagi membantu kanak-kanak menjalani latihan dengan lebih efektif serta meningkatkan kemahiran asas bola sepak mereka.


“Diharapkan Tuubagu Football Academy dan Vipers Kinabalu International School akan terus berjaya dalam usaha membangunkan bakat bola sepak muda serta menyumbang kepada perkembangan sukan bola sepak di negeri Sabah,” katanya.


Sementara itu, perlawanan persahabatan berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran legenda bola sepak Sabah, Jelius Ating, yang turut beraksi bersama pasukan Tuubagu Football Academy dalam perlawanan persahabatan berkenaan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page