top of page
  • nabalunews

PERMAI: PIHAK BERKUASA DISARAN WUJUDKAN LAMAN WEB UNTUK RESPONS RAKYAT



19 Jan 2021

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa disaran mewujudkan laman web khas untuk rakyat menyalurkan maklum balas berhubung keberkesanan pelaksanaan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.


Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata rakyat juga boleh memberi pandangan sama ada langkah yang dilaksanakan tersebut sesuai untuk mereka.


Pada masa sama, beliau berkata pelaksanaan PERMAI perlu dipantau rapi bagi memastikan tidak berlaku ketirisan.


“Sekiranya pemantauan menunjukkan ada keperluan untuk pengubahsuaian pelan bagi memastikan keberkesanan maksimum, maka pelan tersebut perlu diubah suai,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Lee turut menyarankan rakyat mewujudkan tabung komuniti yang membolehkan setiap mereka menyumbang mengikut kemampuan, dan dana yang dikumpul boleh dimanfaatkan untuk melonjakkan lagi usaha kerajaan.


Beliau turut meminta kerajaan melihat keperluan pertubuhan bukan kerajaan yang membantu menangani masalah kesihatan mental seperti Befrienders KL, memandangkan pelaksanaan sekatan pergerakan bagi mengekang penularan pandemik memberi kesan langsung terhadap kesihatan mental rakyat.


Semalam, Muhyiddin mengumumkan PERMAI bernilai RM15 bilion yang mengandungi 22 inisiatif bagi menangani kesan COVID-19 dalam kalangan rakyat dan juga komuniti perniagaan di negara ini. - Bernama

Comments


bottom of page