Pelaksanaan perolehan UiTM beri keutamaan syarikat bumiputera - MOF
- nabalunews
- Jun 2
- 1 min read

1 Jun 2025
PUTRAJAYA: Universiti Teknologi MARA (UiTM) boleh meneruskan sepenuhnya Dasar Keutamaan Kepada Syarikat Bumiputera dalam pelaksanaan perolehannya, seperti digariskan dalam Pekeliling Perbendaharaan berkaitan Perolehan Kerajaan (PK1.5).
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, UiTM juga tidak akan sesekali meminggirkan agenda pemerkasaan bumiputera dalam pelaksanaan perolehan dan projek di institusi itu.
“Pindaan PK1.5 yang dibuat baru-baru ini dan berkuat kuasa tahun ini adalah berkaitan penetapan Ketua Kewangan (financial controller) bagi syarikat adalah perlu berstatus bumiputera.
“Ini bertujuan untuk memperkukuh profesionalisme bumiputera dan turut terpakai dalam proses perolehan UiTM,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, katanya, pindaan PK1.5 tahun 2025 berkaitan dengan komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) tidak terpakai kepada UiTM.
“Ini kerana universiti tersebut merupakan sebuah badan berkanun dan dengan itu tidak termasuk dalam ruang lingkup perjanjian perdagangan ini,” katanya.
MOF menegaskan untuk memastikan setiap pelaksanaan perolehan menyokong Dasar Keutamaan Bumiputera oleh semua agensi kerajaan, bagi meningkatkan keupayaan syarikat bumiputera dalam persekitaran ekonomi yang kondusif.
Terdahulu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) melalui media sosialnya mendakwa bahawa UiTM meminggirkan hak bumiputera menerusi pelaksanaan perolehan universiti itu.
Comments