top of page

Waran Tangkap Terhadap Datuk Karim Isu SCIB, Dipercayai Berada di UAE

  • nabalunews
  • 10 minutes ago
  • 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


13 Mac 2026


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) terus mengambil tindakan tegas terhadap salah laku korporat dengan mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Pengerusi Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB), manakala bekas Ketua Pegawai Ekskutif syarikat itu pula telah didakwa di Mahkamah Sesyen semalam.


Bekas Pengerusi SCIB, Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah, kini dipercayai berada di luar negara dan dikehendaki pihak berkuasa bagi kesalahan di bawah Seksyen 369(b)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Beliau didakwa terlibat dalam menyebabkan SCIB mengemukakan penyata palsu kepada Bursa Malaysia.


Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan beliau diminta tampil membantu siasatan. Alamat terakhir Karim direkodkan di No. 35, Jalan Hijau Pelangi U9/51, Shah Alam dan Flat 3401, 345-Burj Khalifa, Dubai, UAE.


Dalam perkembangan sama, bekas Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SCIB, Rosland Othman, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menyebabkan syarikat itu mengemukakan penyata palsu.


Beliau didakwa menyebabkan SCIB mengemukakan Laporan Kewangan Interim bagi Keputusan Disatukan untuk suku berakhir 30 Jun 2021 yang mengandungi angka hasil sebanyak RM852.8 juta kepada Bursa Malaysia pada 30 September 2021. Kesalahan itu didakwa dilakukan ketika beliau berkhidmat sebagai pengarah SCIB.


Hakim Azrul Darus membenarkan Rosland diikat jamin sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin tempatan. Mahkamah turut memerintahkan beliau menyerahkan pasport dan melapor diri kepada pegawai penyiasat SC setiap bulan sehingga perbicaraan selesai. Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun atau didenda maksimum RM3 juta, atau kedua-duanya.


SC menegaskan bahawa pendedahan maklumat kewangan yang tepat oleh syarikat tersenaram awam adalah amat penting bagi memastikan keyakinan pelabur terhadap pasaran modal negara. Pengawal selia itu memberi amaran akan terus mengambil tindakan tegas terhadap sebarang kesalahan melibatkan penyata kewangan palsu atau mengelirukan.


Ini bukan pertama kali Karim berdepan tindakan SC. Beliau pernah didakwa pada 2021 berkaitan kesalahan sama melibatkan maklumat palsu dalam penyata kewangan Serba Dinamik Holdings Berhad, namun kes itu diselesaikan melalui kompaun berjumlah RM3 juta.


Pendakwaan terhadap Rosland dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SC Mohd Hafiz Mohd Yusoff dan Hashley Tajudin, bersama pegawai pendakwa Quek Yiing Huey dan Siti Sarah Kamaruzaman.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page