Perpaduan dan keharmonian penting untuk kesinambungan pembangunan – Ewon
- nabalunews
- Oct 5
- 1 min read

4 Oktober 2025
PENAMPANG: Perpaduan, keharmonian dan kerjasama erat antara rakyat dengan jabatan serta agensi-agensi kerajaan amat penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan di daerah Penampang.
Ahli Parlimen Penampang merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, selain kerjasama rakyat dan agensi kerajaan, hubungan baik antara kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan juga memainkan peranan penting bagi memastikan keperluan rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Saya berharap perpaduan, keharmonian, kerjasama dan kebersamaan rakyat di Penampang dengan jabatan serta agensi kerajaan akan terus diperkukuh bagi memastikan kesinambungan pembangunan daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan sambutan Pesta Tanglung Parlimen Penampang anjuran Kapitan-Kapitan Cina Penampang, do Buhavan Square, di sini, semalam.
Ewon berkata, kehadiran 28 persatuan masyarakat Cina di Penampang sempena sambutan ini, memperlihatkan semangat perpaduan dan kebersamaan yang kukuh dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
Beliau mengulangi komitmennya untuk terus bekerjasama dengan Kapitan-Kapitan serta persatuan masyarakat Cina di Penampang dalam menganjurkan pelbagai program kebudayaan seperti sambutan Tahun Baru Cina dan Pesta Tanglung.

Ewon turut berkongsi beberapa inisiatif pembangunan yang telah dilaksanakan dalam tempoh lebih dua tahun lalu di Penampang, termasuk penambahbaikan pengurusan bencana dan pelaksanaan pelbagai program keusahawanan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Sambutan Pesta Tanglung Parlimen Penampang itu dianjurkan Kapitan-Kapitan Cina Penampang dengan sokongan penuh Pusat Khidmat Ahli Parlimen Penampang dan ADUN Kapayan, Datuk Jannie Lasimbang.


















Comments