top of page
  • Wartawan Nabalu News

Perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sabah terus kukuh: Ewon


26 Disember 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kehadiran masyarakat pelbagai kaum dan agama dalam majlis-majlis Terbuka Krismas membuktikan perpaduan dan keharmonian kaum di Sabah terus kukuh.


Sehubungan itu beliau mengajak seluruh rakyat negara ini menunjukkan kepada dunia bahawa di sebalik kepelbagaian, rakyatnya boleh bersatu padu, hidup harmoni dan saling hormat-menghormati serta boleh merayakan sambutan kebudayaan dan keagamaan.


“Kehadiran masyarakat pelbagai kaum dan agama dalam majlis rumah terbuka menunjukkan kebersamaan kita dan satu petunjuk bahawa perpaduan dan keharmonian di kalangan pelbagai kaum dan agama di Sabah terus subur.


“Sambutan seumpama ini akan menyerlahkan lagi betapa kukuhnya perpaduan masyarakat Malaysia di Sabah.


“Saya berharap ini akan berterusan dan inilah tanggungjawab pemimpin, pimpinan Sabah dan negara untuk terus memelihara keharmonian kaum dan agama di negara ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra dan Rumah Terbuka Krismas beliau di Dewan Pusat Kebudayaan Sabah, di sini, hari ini.


Turut hadir Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor dan isteri, Datin Seri Julia Salag dan para pemimpin kerajaan negeri serta ketua-ketua agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).


Terdahulu ketika berucap, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, majlis seumpama itu memperlihatkan keharmonian kaum dan agama.

“Di sebalik kemajmukan bangsa dan agama di Sabah, kita masih boleh bersama di tempat ini untuk bersama-sama merayakan kepelbagaian yang ada di negeri ini.


“Semoga ia memberi mesej kepada rakyat Malaysia betapa kita merindui dan mencintai keharmonian serta perpaduan seperti ini. Semoga Sabah terus menjadi contoh perpaduan kaum,” katanya.


Majlis itu dihadiri lebih 5,000 orang dimeriahkan dengan pelbagai persembahan koir dan lagu-lagu Natal.


Selain itu Jualan Madani dan pameran daripada agensi-agensi KUSKOP turut diadakan bagi memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan maklumat lanjut mengenai pembiayaan dan program-program keusahawan yang disediakan oleh agensi berkenaan.

bottom of page