Perpecahan rugikan masyarakat Rungus di DUN Bengkoka: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Perpecahan rugikan masyarakat Rungus di DUN Bengkoka: Ewon



4 Jun 2022

Oleh Wartawan Nabalu News

BENGKOKA: Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menyifatkan perpecahan semasa pilihanraya negeri yang lepas di Bengkoka telah merugikan masyarakat Rungus di kawasan tersebut.


Menurut beliau, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka merupakan kawasan baharu yang diwujudkan sesuai dengan aspirasi masyarakat Rungus selain daripada faktor geografi dan pentadbiran kerajaan.


“UPKO merupakan antara parti yang telah mencadang dan menuntut agar kawasan baharu di Bengkoka diwujudkan selepas mengambil kira faktor geografi, pentadbiran kerajaan dan lebih penting ialah aspirasi masyarakat Rungus di sini. Kerusi ini kemudiannya mulai dipertandingkan semasa pilihanraya negeri pada tahun 2020.


“Sepanjang kunjungan saya ke kawasan ini selama ini, saya maklum sangat dengan aspirasi masyarakat Rungus yang ingin melihat pemimpin mereka memberi perkhidmatan di kawasan DUN ini.



“Malangnya perpecahan semasa pilihanraya negeri tersebut telah merugikan sendiri masyarakat Rungus kerana akhirnya aspirasi tersebut tidak menjadi kenyataan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Bahagian Kudat 2022, di Dewan Kg.Sinukab Pitas, di sini, hari ini.


Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, masyarakat Rungus perlu mengambil ikhtibar daripada keputusan pilihanraya tersebut jika mahu aspirasi tersebut dijayakan pada masa akan datang.



“Sesiapapun boleh bertanding dalam pilihanraya dan apabila keputusan dikeluarkan maka ianya harus dihormati.


“Wakil Rakyat Bengkoka yang menang perlu diberi sokongan agar dapat melaksanakan amanah. Tetapi jauh di sudut hati masyarakat Rungus, saya sangat memahami aspirasi mereka,” katanya.


Katanya lagi, UPKO akan terus meletakkan calon di kawasan DUN Bengkoka pada pilihanraya akan datang dan berharap jentera parti mulai diperkasakan bermula sebaik sahaja selesainya mesyuarat agung tritahunan Bahagian.


“Saya tahu situasi mencabar yang kita akan lalui tetapi saya berharap UPKO Kudat, khususnya di DUN Bengkoka dapat menyusun gerak kerja bagi menjayakan aspirasi rakyat di kawasan ini,” katanya.


Pilihanraya negeri pada tahun 2020 menyaksikan pertandingan 11 penjuru yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN) Harun Durabi dengan majoriti 1,337 undi. Calon UPKO Junsim Rumunzing mendapat 1,201 undi.

bottom of page