top of page
nabalunews

Persembahan unik dan menarik berkonsep 'Rumah MADANI' pada Sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu

10 September 2024


KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia 2024 peringkat kebangsaan pada 16 September di Padang Merdeka, di sini, menampilkan persembahan unik dan menarik berkonsepkan Rumah MADANI yang bakal dipersembahkan kepada pengunjung dan penonton.


Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2024 berkata persembahan itu

melibatkan 100 peserta dan merangkumi lima segmen yang akan dipersembahkan dalam bentuk tarian di Padang Merdeka, pada 16 September ini.


“Persembahan khas ini merangkumi pelbagai aspek kejayaan Malaysia antaranya keteguhan, perpaduan, kemajuan serta transformasi negara.


“Pelbagai acara menarik telah disusun bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat di negara ini pada sambutan Hari Malaysia 2024, yang kita menjadi tuan rumah," katanya ketika ditemu bual Radio SabahFM di sini, lapor Bernama.


Liew berkata raptai penuh sempena sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan akan diadakan pada 14 September bermula 6 petang di Padang Merdeka, bagi memastikan kelancaran majlis.


Katanya acara lain termasuk tarian sambut tamu, menandatangani buku khas sambutan Hari Malaysia 2024, memotong kek Hari Malaysia, konvoi kembara merdeka dan upacara menerima Jalur Gemilang.


“Sambutan Hari Malaysia yang bertemakan ‘Rumah MADANI, Jiwa Merdeka’ itu turut melibatkan 85 anggota keselamatan Polis Diraja Malaysia, yang bersiap sedia bagi memastikan kelancaran sambutan pada malam sambutan berkenaan,” katanya.


Liew turut menjemput orang ramai untuk datang bersama-sama memeriahkan sambutan dan menasihatkan mereka datang awal serta menggunakan kemudahan pengangkutan awam yang telah disediakan.


Beliau berkata para tetamu akan turut dihiburkan dengan persembahan artis Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah seperti Elica Paujin, Faizal Tahir, Fauziah Gambus, Amir Jahari dan Stacy.


Acara turut dimeriahkan dengan persembahan bunga api.


“Maklumat rasmi berkaitan sambutan Hari Malaysia boleh didapati di web Merdeka360 atau layari Facebook dengan carian Merdeka360.


“Ayuh kita kibarkan Jalur Gemilang menerusi inisiatif satu rumah satu Jalur Gemilang di setiap kediaman masing-masing. Selain itu semua dijemput untuk memeriahkan sambutan Hari Malaysia di media sosial dengan berkongsi #MalaysiaMadani #JiwaMerdeka #TaatSetia #Merdeka360,” katanya.

Comments


bottom of page