- nabalunews
Pertahankan seni budaya tradisi untuk kekalkan identiti kaum
27 August 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
NABAWAN: Keunikan seni budaya tradisi yang diwarisi turun temurun perlu dijaga dan dipertahankan oleh setiap etniks ebagai usaha untuk mengekalkan identiti kaum masing-masing.
Penaung Karnival Vatik, Datin Asiah Azlan berkata, keunikan dan kepelbagaian budaya dan tradisi kaum adalah tarikan masyarakat luar untuk berkunjung di kawasan Nabawan.
Katanya, keunikan budaya dan tradisi kaum bukan sahaja menjadi tarikan pelancong, namun ia juga menunjukkan identiti kaum berkenaan.
Asiah yang juga isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata demikian semasa berucap merasmikan Karnival Vatik Murut Tahol anjuran Persatuan Murut Tahol Sabah yang berlangsung di dewan serbaguna Majlis Daerah Nabawan pada Sabtu.
Mengenai program ini Asiah berkata, beliau menyokong penuh penganjuran karnival Vatik kerana ia memberi manfaat kepada semua pihak dan semua golongan termasuk kanak-kanak.
Katanya, Vatik adalah sebutan dalam bahasa ibunda Murut Tahol yang bermaksud Batik.
"Tidak jauh beza cuma corak dan maksud setiap batik yang dilukis atau diukir mempunyai sejarah atau maksud yang tersendiri" katanya.
Sempena karnival Vatik yang julung kali diadakan ini, beberapa aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung seperti Pameran Kraftangan, Pertandingan Mewarna, Pahilian Lilimpor Vatik Onsoi, Pertandingan Pidato, Pertandingan Amalanti dan Pertandingan Pamarinding Ra Apar-Apar.
Aktiviti-aktiviti sebegini kata Asiah, amat memberi manfaat kepada masyarakat di samping dapat memperkenalkan budaya suku kaum Murut kepada tetamu dari luar daerah Nabawan.
Selain itu katanya pengisian karnival Vatik ini jika dikembangkan akan menyumbang kepada pembangunan
sosio-ekonomi dalam pelbagai sudut untuk manfaat masyarakat di daerah ini.
Pada karnival itu, Fatin Fazirah muncul juara pertandingan pahilian limpor watik onsoi Murut Tahol 2024.
Manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang oleh adik beradik Zuanini Musah dan Erra Musah.
Comentarios