top of page
  • Wartawan Nabalu News

PERUNTUKAN RM100,000 UNTUK ADUN PEMBANGKANG SATU PERMULAAN BAIK: UPKO


(Dari kiri) Madius, Donald dan Ewon.

10 Feb 2021


KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyambut baik pengumuman Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang memperuntukkan RM100,000 kepada 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini.


Peruntukan itu bertujuan membantu mereka menangani masalah di kawasan masing-masing berikutan penularan pandemik Covid-19.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan semalam, Presidennya Datuk Wilfred Madius Tangau, Timbalan Presiden Datuk Donald Mojuntin dan Naib Presiden Datuk Ewon Benedick menyifatkan langkah itu sebagai satu permulaan baik yang menjurus tidak mempolitikkan dana pembangunan Dun (CDF).


“UPKO mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Hajiji yang melakukan pembaharuan ke atas amalan tidak adil semasa era kerajaan BN dan Warisan-Plus.


"Bagaimanapun, UPKO berpendapat pembaharuan itu dapat diperluaskan lagi dan Datuk Seri Hajiji akan dikenang dalam lipatan sejarah jika kerajaan negeri pimpinannya dapat menggubal undang-undang yang memastikan pengagihan CDF yang saksana untuk semua ADUN dan Ahli Parlimen tanpa mengira fahaman politik," kata mereka, sambil menambah Gabungan Rakyat Sabah harus lebih reformis berbanding pemimpin terdahulu.

Kerajaan Negeri pada masa ini memberikan peruntukan tahunan kepada seorang menteri negeri sebanyak RM2.1 juta, pembantu menteri negeri RM1.14 juta dan penyokong kerajaan RM1.1 juta. Ahli Parlimen juga diberi RM10,000 setiap bulan untuk mengekalkan pusat perkhidmatan mereka.


“Tetapi peruntukan tersebut disalurkan kepada Pengerusi Bahagian Bersatu untuk 14 kawasan Parlimen yang diwakili pembangkang di Sabah dan Labuan.


"RM10,000 itu seharusnya diberikan kepada pejabat MP yang dipilih oleh rakyat, tanpa mengira parti yang diwakilinya.


"Memberi RM1.68 juta kepada 13 ketua bahagian daripada parti yang menunjangi Kerajaan Negeri perlu dihentikan," tegas mereka.


"UPKO akan berjuang untuk menjayakan pembaharuan ini di peringkat negeri dan persekutuan, bukan hanya di bawah pemerintahan sekarang, tetapi juga mana-mana gabungan politik yang ingin meraih mandat rakyat untuk membentuk kerajaan pada masa depan."


Commentaires


bottom of page