top of page

Pesawah Piasau Harap Sistem Pengairan Dipulihkan Segera

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns


KOTA BELUD, 28 Ogos: Lebih 300 pesawah di Kampung Piasau berharap kerja pemulihan sistem pengairan di kawasan berkenaan dapat diselesaikan bagi membolehkan aktiviti penanaman padi diteruskan.


Pengerusi Persatuan Kebajikan Pesawah Kampung Piasau, Fidelis Boyogo berkata, sistem pengairan merupakan kemudahan penting bagi memastikan bekalan air dapat disalurkan secara berkesan ke petak-petak sawah.


Menurutnya, beberapa komponen sistem pengairan termasuk tali air dan intake masih memerlukan kerja pemulihan, manakala penggunaan pam air bergerak turut bergantung kepada keadaan saluran pengagihan air ke kawasan sawah.


“Kami berharap kerja-kerja berkaitan sistem pengairan dapat diselesaikan supaya bekalan air dapat disalurkan dengan baik dan pesawah boleh kembali menjalankan aktiviti penanaman,” katanya dalam kenyataan, semalam.


Beliau berkata, kemudahan sokongan termasuk jalan menuju ke kawasan sawah dan jambatan yang digunakan untuk laluan jentera pertanian juga penting bagi melancarkan aktiviti penanaman serta penuaian.


Menurut Fidelis, keadaan itu memberi kesan kepada lebih 300 pesawah yang bergantung kepada tanaman padi sebagai antara sumber pendapatan mereka.


Katanya, persatuan menganggarkan nilai hasil yang berpotensi diperoleh pesawah sekiranya aktiviti penanaman dapat dilaksanakan seperti biasa adalah sekitar RM8 juta.


Sebelum ini, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Ja’afar mengadakan lawatan ke kawasan berkenaan pada 9 Mac lalu dan menerima memorandum daripada persatuan pesawah mengenai keperluan mereka.


Dalam lawatan itu, beberapa perkara berkaitan keperluan pesawah dan sistem pengairan turut diberi perhatian untuk tindakan melalui agensi teknikal berkaitan.


Fidelis berkata, persatuan berharap kerjasama antara kementerian, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), agensi pertanian serta pihak berkaitan dapat membantu mempercepatkan penyelesaian kerja pemulihan sistem pengairan berkenaan.


Katanya, persatuan juga berharap satu pertemuan bersama pihak berkaitan dapat diadakan bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai pelaksanaan kerja serta perancangan seterusnya.


“Kami berharap ada penyelesaian yang dapat membantu pesawah kembali mengusahakan sawah dan meneruskan aktiviti penanaman seperti biasa,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page