Pesawah Tomboilik Bergotong-Royong Lancarkan Sistem Pengairan Sawah
- nabalunews
- 21 hours ago
- 1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns
KOTA BELUD, 28 Ogos: Komuniti pesawah Kampung Tambulion Ulu mengambil inisiatif mengadakan gotong-royong bagi melancarkan aliran air ke kawasan sawah padi Tomboilik, baru-baru ini.
Gotong-royong pada 22 Ogos lalu melibatkan kerja mengorek serta mengalihkan batu di sungai bagi memastikan aliran air dapat disalurkan dengan lebih baik ke kawasan sawah.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tambulion Ulu, Boniface @ Boni Jiran berkata, usaha itu dilaksanakan secara bersama oleh komuniti pesawah bagi memastikan aktiviti penanaman padi dapat diteruskan mengikut jadual.
“Kami tidak mahu menunggu lama kerana musim tanam perlu diteruskan. Justeru, kami bergotong-royong bagi memastikan bekalan air ke sawah tidak terganggu,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama dan semangat gotong-royong dalam kalangan pesawah amat penting khususnya dalam membantu memastikan kemudahan pengairan yang menjadi keperluan utama sektor penanaman padi sentiasa berada dalam keadaan baik.
Pada masa sama, beliau berharap usaha komuniti itu mendapat sokongan berterusan daripada pihak berkaitan, khususnya dari segi penyediaan peralatan dan bantuan teknikal bagi memudahkan kerja penyelenggaraan sistem pengairan pada masa hadapan.
Menurutnya, kerjasama antara komuniti pesawah dan agensi berkaitan penting bagi memastikan aktiviti penanaman padi di kawasan berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Gotong-royong yang melibatkan puluhan pesawah itu turut mencerminkan komitmen masyarakat setempat dalam memastikan sektor pertanian terus berkembang dan menjadi sumber pendapatan kepada penduduk.
Usaha berkenaan juga diharap dapat membantu memperkukuh sistem pengairan sawah padi di kawasan Tomboilik, sekali gus menyokong usaha meningkatkan pengeluaran padi dan tahap sara diri beras di Sabah.















Comments