Pesta Bola Merdeka Piala SMJ buka tirai hari ini
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pesta Bola Merdeka Piala SMJ buka tirai hari ini



18 September 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Dua pasukan yang mewakili negeri ini pada kejohanan Pesta Bola Merdeka Piala SMJ 2022 iaitu Sabah dan Sabah SMJ bakal memulakan aksi mereka di Stadium Likas, hari ini.


Pasukan Sabah akan bertemu Brunei dalam aksi pertama mereka bermula jam 7.30 malam manakala Sabah SMJ bakal berentap dengan Singapura dalam perlawanan yang dijadualkan pada jam 9.30 malam.


Kedua-dua pasukan berkenaan yang majoritinya dibarisi bekas-bekas pemain skuad utama negeri suatu ketika dulu.


Antara pemain yang membarisi pasukan Sabah termasuk Matlan Marjan, Yap Wai Loon, G Raveychandran, Henry Soimpon, Harun Laban, Rosdin Wasli, Burhan Ajui dan Rizal Awg Jad.

Sementara itu, pasukan Sabah SMJ juga tidak kurang hebatnya apabila dibarisi bekas pemain seperti Musa Hendrik, Zuraindey Jumai, Andrew Majanggim, Reithudin Emran, Billyton Vun Kit Ming dan beberapa lagi.


Sementara itu, empat lagi pasukan bakal beraksi pada jam 3.30 petang, hari yang sama, iaitu membabitkan pertemuan antara Selangor dan Indonesia serta Sarawak dan Johor.


Aksi Selangor dan Indonesia akan berlangsung di Padang Sintetik Likas manakala perlawanan antara Sarawak dan Johor berlangsung di Stadium Likas.


Selangor dilihat antara pasukan yang perlu diberi tumpuan apabila membariskan ramai bekas-bekas bintang mereka seperti Shahril Arsat, Nazzab Hidzan, Nazri Ahmad, Rudie Ramli dan beberapa lagi bekas pemain.


Cabaran pasukan-pasukan lain juga tidak boleh dipandang ringan apabila mereka turut menyenarai beberapa bekas pemain negeri dan negara masing-masing.


Raymos dan Ramlies Sari serta Wong Sai Kong bakal memperkuatkan skuad Sarawak, Hassan Miskam berada dalam senarai Johor manakala Singapura, Indonesia dan Brunei juga menyenaraikan beberapa pemain yang pernah menyarung jersi kebangsaan masing-masing.


Sementara itu, upacara pembukaan kejohanan itu bakal berlangsung di Stadium Likas pada jam 7 malam esok manakala upacara penutup akan disempurnakan Ketua Menteri Hajiji Noor pada Ahad, juga bermula jam 7 malam.


Pada hari penutup nanti juga, penonton yang hadir berpeluang memenangi hadiah cabutan tiket bertuah yang menyaksikan pelbagai hadiah menarik termasuk motosikal.



bottom of page