Pesta Kuih Bulan Cerminan Keharmonian Masyarakat Tenom – Jamawi

TENOM, 19 Sept: Sambutan Pesta Kuih Bulan dan Pesta Tanglung di daerah ini mencerminkan keunikan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar.
Beliau berkata, sambutan anjuran Gabungan Persatuan Komuniti Cina Daerah Tenom itu mendapat penyertaan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan remaja, pelajar sekolah, ibu bapa dan peniaga.
Katanya, penyertaan masyarakat pelbagai agama, termasuk masyarakat Islam, dalam perarakan tanglung dan acara berkaitan memperlihatkan semangat perpaduan yang subur dalam kalangan penduduk daerah itu.
“Ini kelebihan dan keunikan Tenom. Kita bersama-sama meraikan kepelbagaian perayaan tanpa mengira agama.
“Apabila sambutan Hari Raya dan Krismas diadakan, masyarakat daripada kaum serta agama lain turut meraikannya. Inilah kepelbagaian budaya dan agama di Tenom yang harus terus kita pupuk,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Kuih Bulan dan Pesta Tanglung di sini, kelmarin.
Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, beliau bersyukur kerana budaya saling menghormati dan meraikan kepelbagaian semakin berkembang dalam kalangan masyarakat Tenom.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementeriannya telah mengemukakan lapan cadangan kepada Kementerian Kewangan, dengan lima daripadanya diluluskan.
Antaranya ialah peningkatan kuota diesel daripada 300 kepada 400 liter bagi setiap penerima serta membenarkan pertukaran nama penerima dalam kalangan ahli keluarga.
“Baru-baru ini, Perdana Menteri turut mengumumkan beberapa penambahbaikan yang kita perlukan,” katanya.
Menurutnya, penambahbaikan itu termasuk membenarkan sambung bayar pinjaman kenderaan tanpa mengambil kira hubungan persaudaraan.
Selain itu, pemilik yang mempunyai lebih daripada sebuah kenderaan diesel dibenarkan memindahkan kuota kepada rakan atau saudara supaya kuota berkenaan tidak luput begitu sahaja.
Bagi sektor pertanian, katanya, Kementerian Kewangan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan meluluskan insentif bulanan sebanyak RM400 kepada peneroka, pekebun, petani dan golongan berkaitan menerusi inisiatif Agromadani.
“Mereka layak menerima bantuan ini tanpa mengira sama ada mempunyai kenderaan diesel, petrol atau tidak, asalkan disahkan oleh agensi di bawah Kementerian Pertanian di Sabah,” katanya.
Jamawi berkata, beliau telah mengarahkan program jelajah diadakan bagi membantu petani yang masih kurang memahami tatacara permohonan secara dalam talian.
Katanya, lebih 2,000 petani dan peneroka telah menyertai program berkenaan serta mengemukakan permohonan masing-masing.
“Sekiranya permohonan mereka disahkan pada bulan ini, mereka akan menerima bantuan tunai RM400 pada bulan depan,” katanya.















Comments