Peter keluar Warisan, tubuh parti baharuPeter keluar Warisan, tubuh parti baharu
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Peter keluar Warisan, tubuh parti baharu


28 Dis 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap dari Parti Warisan Sabah, Datuk Peter Anthony telah mengumumkan untuk keluar dari parti itu, hari ini. Difahamkan satu lagi ADUN Warisan iaitu ADUN Limbahau Datuk Juil Nautim turut membuat keputusan itu. Peter, yang juga naib presiden Warisan, juga mengumumkan bahawa beliau akan menubuhkan sebuah parti baharu yang mesra kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Beliau menyatakan keputusannya untuk meninggalkan parti Warisan adalah kerana parti yang diketuai oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah melencong dari landasan asalnya iaitu berkhidmat untuk Sabah. "Mereka telah melebarkan sayap mereka ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dan meninggalkan perjuangan asal untuk Sabah," katanya pada sidang media di lapangan terbang antarabangsa di sini selepas tiba dari Kuala Lumpur. Peter juga menafikan bahawa keputusannya untuk keluar dari Warisan dan menubuhkan parti baharu adalah kerana kes mahkamahnya yang sedang berjalan. Beliau berkata beliau akan bekerjasama dengan kerajaan yang memerintah di bawah Datuk Seri Hajiji Noor. Ujarnya, sudah tiba masanya untuk pemimpin di Sabah melupakan persengketaan politik dan sebaliknya bersama-sama membangunkan Sabah. "Masih ramai lagi rakyat terutama sekali dari golongan Kadazan Dusun Murut (KDM) tinggal di pedalaman yang masi miskin," katanya. Beliau berkata pembentukan gabungan yang diterajui kempimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, adalah jalan yang terbaik bagi menyelesaikan masalah ekonomi serta menyemarak kesatuan antara penduduk Sabah. Beliau menjelaskan bahawa rakyat Sabah mahukan platform dari kempimpinan dari negeri Sabah. Beliau mengambil contoh Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini, di mana rakyat Sarawak memilih parti tempatan bagi memperjuangkan nasib mereka. Warisan, yang muncul parti terbesar tunggal memenangi 23 daripada 73 kerusi DUN semasa pilihan raya negeri mengejut September 2020, setakat ini kehilangan tiga Adunnya kerana berpaling tadah manakala kerusi keempat, Bugaya, kekal kosong berikutan kematian penyandangnya. Dua daripada tiga Adun – Datuk Mohamaddin Ketapi (wakil Segama dan juga Ahli Parlimen Lahad Datu) dan Hassan Gani Amir (Sebatik) – telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia manakala Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin) belum menyertai mana-mana parti secara rasmi tetapi telah melatakan jawatannya dan menyokong GRS. Pada ketika ini, gabungan 10 parti GRS yang diketuai oleh Pengerusi Bersatu Sabah Hajiji mempunyai majoriti selesa 50 kerusi dalam dewan.

bottom of page