top of page

Petronas Dan Yayasan Petronas Salurkan Bantuan Banjir Di Sabah

  • nabalunews
  • Oct 1
  • 2 min read

ree

1 Oktober 2025


KOTA KINABALU: PETRONAS dan cabang impak sosialnya, Yayasan PETRONAS, hari ini menyalurkan sumbangan bekalan asas dan sokongan tambahan sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh di Sabah, mengukuhkan komitmen dalam menyokong bantuan bencana di negeri ini.


Sumbangan diserahkan Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, disaksikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.


“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan kami dalam menyokong komuniti di Sabah.


“Melalui kerjasama rapat dengan agensi negeri dan persekutuan, kami berhasrat memastikan bantuan dapat disalurkan apabila diperlukan.


“Dirancang secara proaktif setiap tahun, inisiatif ini bertujuan menyokong kesiapsiagaan dalam menghadapi musim banjir,” kata Siti Ayu.


Di bawah inisiatif terbaharu ini, Yayasan PETRONAS menyerahkan 1,000 pakej keperluan asas kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Sabah (JPKA), mengandungi barangan harian termasuk makanan, kelengkapan kebersihan diri, dan keperluan bayi.


Sebanyak 200 pakej telah diserahkan kepada Pejabat Kebajikan Bahagian Kota Kinabalu, manakala selebihnya akan disalurkan secara berperingkat ke Pejabat Kebajikan Bahagian di Beaufort, Kudat, Keningau, Sandakan, dan Tawau sepanjang bulan Oktober.


Yayasan PETRONAS turut memperuntukkan bantuan tambahan RM500 kepada setiap 244 keluarga yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.


Bantuan ini akan disalurkan melalui kaedah tanpa tunai yang akan diaktifkan hujung bulan ini, membolehkan penerima menggunakan MyKad di pasar raya terpilih untuk membeli barangan keperluan asas, hasil segar serta barangan rumah tertentu.


Sementara itu, PETRONAS menyumbang barangan bantuan banjir bernilai RM345,000, termasuk tilam boleh lipat, kanopi, kipas dan air minuman.


PETRONAS turut menyerahkan bekalan makanan paket kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta kad sumbangan bernilai RM10,000 untuk membeli bahan api bagi kegunaan semasa operasi bantuan.


Setakat ini tahun ini, PETRONAS dan Yayasan PETRONAS telah menyalurkan sebanyak RM980,000 bagi menyokong bantuan bencana di Sabah.


Jumlah ini termasuk bantuan pasca bencana yang telah dilaksanakan awal tahun ini, mencerminkan komitmen berterusan syarikat untuk bersama-sama Kerajaan Negeri dan komuniti dalam menghadapi bencana.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page