top of page

PGA Briged Sabah Rampas Barangan Bernilai RM225 Juta Dalam 268 Serbuan

  • nabalunews
  • 5 hours ago
  • 2 min read


3 Julai 2025


KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah berjaya merampas pelbagai barangan bernilai RM225 juta menerusi 268 serbuan sepanjang enam bulan pertama tahun ini.


Sepanjang operasi berkenaan, pasukan operasi turut berjaya menahan 487 individu melibatkan pelbagai siri operasi bermula 1 Januari hingga 30 Jun lalu.


Antara operasi yang dilancarkan pihak berkuasa berkenaan ialah Op Taring ESSZONE/Daratan, Op Kontraban, Op Bersepadu Khazanah dan Op Hazard (E-Waste) serta pemeriksaan sekatan jalan raya (RCP).

Komander Briged Sabah PGA, Datuk Abdul Rani Alias berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama semua batalion bersama pelbagai agensi penguat kuasa lain.


Katanya, seramai 282 individu yang ditahan adalah warga asing dari negara jiran Filipina dan Indonesia serta rakyat China, Pakistan dan India.


“Manakala selebihnya 205 individu adalah warga tempatan yang ditahan atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sepanjang operasi berkenaan, pelbagai barangan disita termasuk kenderaan, makanan sejuk beku, minuman keras, rokok seludup, senjata api, barangan e-waste, dan minyak sawit mentah (CPO).


"Antara rampasan tertinggi yang dicatatkan iaitu kenderaan dengan jumlah rampasan RM40.8 juta, rokok seludup (RM40.6 juta) dan barangan e-waste bernilai RM48.8 juta.


“Selain itu, turut dirampas adalah senjata api dan mercun bernilai RM20.3 juta, makanan sejuk beku (RM13.1 juta), CPO (RM1.9 juta) serta minyak petrol dan diesel bersubsidi bernilai RM361,253," katanya.

Sementara itu Abdul Rani berkata, operasi dilancarkan dengan kerjasama rapat pelbagai agensi termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan beberapa agensi lain.


"Polis melalui PGA secara khususnya akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi menjaga serta mengawal keselamatan negara dan ketenteraman awam dengan penuh tanggungjawab serta profesional demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat," katanya.

Sehubungan itu, Abdul Rani berkata, orang awam disarankan supaya terus menjadi mata dan telinga polis dalam menghulurkan segala jenis maklumat berkaitan kes penyeludupan yang berlaku di sekitar kawasan masing-masing.

"Ini bagi memastikan negara tidak dicerobohi oleh mana-mana elemen aktiviti haram penyeludupan," katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page