top of page
  • Wartawan Nabalu News

PH 2022 berbeza dengan PH 2018, rakyat perlu beri peluang bukti kepimpinan baharu - Ewon


31 Oktober 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


TUARAN: Bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang juga merupakan calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick menyeru rakyat Sabah agar memberi peluang kepada PH untuk membuktikan kepimpinan baharu mentadbir Kerajaan Persekutuan.


Ini kerana menurut beliau, kepimpinan PH pada tahun 2022 sangat berbeza dengan kepimpinan PH pada tahun 2018.


“Pada tahun 2018, PH diketuai oleh Tun Mahathir Mohamed dan partinya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masih berada dalam PH. Tetapi kini mereka sudah keluar daripada PH.


“Hari ini PH diketuai oleh Anwar Ibrahim, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu parti yang berbilang kaum. Anwar belum pernah menjadi Perdana Menteri tetapi pernah diiktiraf sebagai Menteri Kewangan terbaik Asia,” katanya.

Menurut Ewon lagi, PH juga kini telah diperkasakan dengan penyertaan UPKO secara rasmi sebagai parti lokal Sabah dalam gabungan politik tersebut.


“PH 2022 juga kini ada UPKO. Sebab itu kita telah dan akan terus mengangkat suara rakyat Sabah dalam PH. Itu sebabnya pada 3 Jun yang lepas, saya bersama Wakil-Wakil Rakyat PH Sabah telah memfailkan saman terhadap Kerajaan Persekutuan untuk menuntut hak 40% hasil persekutuan di Sabah sepertimana yang tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan.


“Tidak pernah ada Wakil Rakyat Sabah yang menyaman Kerajaan, tetapi inilah ketegasan PH Sabah yang ada hari ini selepas penyertaan UPKO dalam gabungan ini. Saya telah menyatakan kepada Anwar Ibrahim bahawa ketegasan kepimpinan PH Sabah tidak akan kurang daripada ketegasan kita melawan di mahkamah untuk menuntut hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan.

“Inilah bezanya PH pada 2022 ini dengan PH pada tahun 2018 yang lepas. Rakyat Sabah dan rakyat Malaysia harus memberi peluang kepada kepimpinan PH yang baharu ini untuk menang dalam pilihanraya umum ini dan seterusnya membentuk Kerajaan Persekutuan,” katanya.


Ewon menyatakan demikian semasa berucap di jelajah mega Harapan Sabah di Tuaran awal malam tadi.


Beliau turut menyatakan bahawa sokongan dan undian kepada calon-calon PH dalam pilihanraya umum ini merupakan satu undi kepada Kerajaan Pakatan Harapan yang menolak amalan rasuah dan salah guna kuasa.

“Satu undi kepada PH merupakan satu undi untuk Kerajaan yang menolak rasuah, yang menolak salah guna kuasa, yang mahu reform tadbir urus Kerajaan supaya lebih prihatian dan lebih peduli rakyat,” katanya.


Terdahulu, Ewon telah diumumkan sebagai calon PH bagi kerusi parlimen Penampang.

Comments


bottom of page