top of page

PHRS sedia tanding DUN Merotai dan Kukusan jika diberi peluang

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 2 min read

Tan Sri Liew Yun Fah
Tan Sri Liew Yun Fah

4 Julai 2025


KOTA KINABALU : Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), salah satu anggota Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bersedia bertanding di Dewan Undangan Negeri Merotai dan Kukusan jika diberi peluang dan sudah mengenal pasti calon yang bersesuaian.


Presidennya, Tan Sri Liew Yun Fah berkata sokongan dan keyakinan rakyat di kedua-dua DUN Merotai dan Kukusan terhadap parti itu adalah sangat baik dan analisis di peringkat kawasan menunjukkan PHRS mampu menyumbang kerusi kepada GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.


Katanya, parti itu amat realisitik dan menyasarkan dua kerusi DUN tersebut berdasarkan sokongan rakyat di situ yang beliau umpamakan sebagai 'rumah kita' atau kubu kuat PHRS.


“Kita kena utamakan 'rumah kita' dahulu (tempat kita ada pengaruh). Sebab itu, saya sebut secara spesifik kerusi DUN Merotai dan Kukusan yang kita intai untuk bertanding PRN nanti.


"Semua orang pun boleh minta, tapi yang penting adakah mereka yang minta dan bertanding itu boleh menang atau sebaliknya.


"Kita nyatakan secara terbuka rela dan bersedia bertanding dan harap puncuk pimpinan GRS dapat mempertimbangkannya," katanya di sini hari ini.


Liew berkata, kerusi DUN Kukusan kini diwakili Datuk Rina binti Jainal yang menganggotai PHRS manakala beliau sendiri pernah menjadi wakil rakyat DUN Merotai.


Bagaimanapun, bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah itu berkata PHRS tetap akur dengan sebarangan ketetapan GRS berhubung pengagihan kerusi kepada parti-parti komponennya.


Ditanya sama ada beliau (Liew) bersedia bertanding di DUN Merotai sekiranya kerusi itu diperuntukkan kepada PHRS, beliau berkata: "saya sedia bertanding dan berjuang untuk menyumbang kemenangan kepada GRS".


“Kita juga akan meletakan calon yang berpotensi boleh menang untuk mempertahankan semula kerusi DUN Kukusan.


“Kita serahkan kepada Ketua Menteri untuk membuat keputusan tepat, sebelum bertindak membubarkan DUN Sabah berikutan tempoh penggal semasa dijangka tamat

November ini.


“Kita masuk gelanggang PRN mestilah dalam keadaan bersiap sedia, jangan terburu-buru, Ketua Menteri masih mempunyai masa yang secukupnya,” katanya.


Liew berkata, sehingga kini berdasarkan pencapaian prestasi semasa ditunjukkan Kerajaan GRS, beliau yakin rakyat akan memberikan peluang sekali lagi untuk memerintah semula selepas PRN17 nanti.


Dalam PRN 2020, Sarifuddin Hatta daripada Parti Warisan menang kerusi DUN Merotai dengan majoriti 1,587 undi.

コメント


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page