PIBG sokong SMK Konvent St Cecilia jadi sekolah terbaik di Sandakan: Dr. Peter
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PIBG sokong SMK Konvent St Cecilia jadi sekolah terbaik di Sandakan: Dr. Peter


19 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


SANDAKAN: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Konvent St.Cecilia Sandakan membelanjakan lebih RM30,000 untuk menaiktaraf kemudahan internet dan melaksanakan pelbagai program kecemerlangan pelajar sekolah itu sepanjang tahun 2021-2022.


Yang dipertua PIBG Sekolah itu Dr. Peter Jr Naintin berkata, daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan itu RM20,000 diperuntukkan untuk jalur lebar, dana imbuhan untuk 37 pelajar cemerlang SPM 2021 (RM7,000) dan dana bantuan untuk Bengkel SPM 2022 (RM5,000).


“PIBG menyokong SMK Konven St Cecilia supaya menjadi sebuah sekolah yang terbaik di Sandakan.


“Bagi mencapai sasaran sekolah ini menjadi sebuah sekolah cemerlang tahun 2025 pelbagai program telah dan akan diadakan termasuk Bengkel SPM 2022, melengkapkan sekolah ini dengan Smart TV dan kemudahan jalur lebar.

“Ini adalah sekolah menengah pertama di Sandakan yang dilengkapi Smart TV dengan kemudahan jalur lebar berkapasiti 800mbps di seluruh sekolah. PIBG juga telah membelanjakan hampir RM20,000 bagi membantu pihak sekolah menaiktarafkan kemudahan Internet tersebut,” katanya.


Mengenai Bengkel SPM 2022, Dr. Peter berkata calon SPM 2022 adalah kumpulan pelajar yang terkesan pembelajaran semasa pandemik Covid-19.


“Pada tahun 2020 hingga 2021, bilangan hari persekolahan secara bersemuka bagi kumpulan pelajar ini hanyalah 25 hari (secara penggiliran) sahaja.


“Tambahan lagi, 86 peratus atau 157 orang pelajar daripada 182 orang murid Tingkatan 5 adalah dari golongan B40.


“Mereka tidak mempunyai kemudahan Internet dan gadjet untuk PdPR di rumah semasa PKP, ini secara langsung menjejaskan penguasaan pembelajaran semasa Tingkatan 3 dan 4 yang menjadi asas pembelajaran ke Tingkatan 5,” katanya.


Oleh itu katanya, Bengkel SPM diadakan untuk semua pelajar Tingkatan 5 bagi meningkatkan pengetahuan tentang DSKP, teknik menjawab soalan SPM, melengkapkan kerja kursus SPM serta menyuntik keyakinan untuk lulus SPM dengan baik.

bottom of page