Pimpinan Akar Umbi UPKO Tekad Guna Logo Sendiri
- nabalunews
- Sep 1
- 2 min read

1 September 2025
KOTA KINABALU: Pimpinan peringkat akar umbi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berpendirian untuk menggunakan logo sendiri dalam Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang sebagai langkah memperkukuh identiti politik tempatan serta menzahirkan komitmen dalam memperjuangkan hak-hak negeri Sabah.
Pemimpin akar umbi UPKO Bahagian Kinabatangan, George Odol berkata, penggunaan logo sendiri mencerminkan pendirian jelas sebagai sebuah parti lokal.
Katanya, UPKO berperanan penting dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah menerusi saluran kerajaan perpaduan Malaysia.
“Langkah ini melambangkan bahawa UPKO bukan sekadar rakan kongsi dalam gabungan kerajaan, tetapi juga sebuah parti tempatan yang berprinsip dan berpendirian tegas dalam isu-isu yang melibatkan negeri Sabah.
“Penggunaan logo parti juga mengikis persepsi negatif serta tohmahan daripada pihak tertentu yang mendakwa UPKO hanya menjadi tunggangan parti politik dari Semenanjung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Bekas guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Ansuan, Telupid, yang sebelum ini pernah tular kerana mendiami stor prasekolah itu berkata, rakyat sememangnya melihat UPKO sebagai sebuah parti lokal yang berdiri atas kekuatan dan perjuangan sendiri, bukannya parti yang dikawal atau dipengaruhi oleh pihak lain.
Katanya, meskipun membawa lambang sendiri, kerjasama erat dengan Pakatan Harapan (PH) tetap kukuh dalam memastikan agenda kebajikan rakyat dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Kerjasama dengan PH adalah satu bentuk persefahaman politik yang memihak kepada rakyat. UPKO wajar mengekalkan identiti parti lokal bersama-sama rakan gabungan mampu memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah terjaga,”’katanya.
Sementara itu, George berkata, UPKO berpegang teguh kepada perjuangan untuk memastikan hak-hak Sabah yang termaktub dalam MA63 dapat direalisasikan secara adil melalui perundingan dengan kerajaan pusat.
“Identiti sebagai parti tempatan adalah kekuatan moral untuk membawa suara rakyat Sabah ke peringkat nasional.
“Dengan pendekatan itu, saya yakin ia mampu menonjolkan keunikan sebagai parti lokal yang berdaya saing, sekaligus memberi keyakinan kepada rakyat bahawa UPKO adalah pilihan tepat untuk mewakili suara Sabah dalam arus politik tanah air,” katanya.


















Comments