top of page

Pindaan Ordinan Buruh Sabah hentikan kes pekerja tidak dapat cuti paterniti

nabalunews



17 Oktober 2024


KOTA KINABALU: Kes pekerja tidak mendapat cuti paterniti untuk menjaga isteri baru bersalin dan bayi yang baru dilahirkan antara asas pindaan Ordinan Buruh Sabah yang diluluskan di Dewan Rakyat, pada 14 Oktober lalu.


Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, berkata kes seumpama itu yang dilaporkan di Penampang tahun lalu, membuka mata semua pihak mengenai pentingnya pindaan itu disegerakan.


Beliau yang menjadi Timbalan Menteri Sumber Manusia dari Disember 2022 hingga tahun lalu, berkata sokongan sebulat suara Ahli Dewan Rakyat terhadap pindaan ordinan berkenaan amat bermakna kepada pekerja di negeri ini.


“Sejak diamanahkan sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia (KESUMA) bermula Disember 2022, antara fokus utama saya pada ketika itu adalah untuk memastikan kebajikan tenaga kerja Malaysia khususnya di Sabah setara dengan standard perburuhan antarabangsa.


“Kes pekerja yang tidak mendapat cuti untuk menjaga isteri dan bayi yang baru dilahirkan di Penampang tahun lalu telah membuka mata semua pihak betapa penting pindaan ini disegerakan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.


Mustapha berkata, dengan pindaan Ordinan Buruh Sabah, pekerja lelaki di negeri ini, kini layak mendapat cuti paterniti selama tujuh hari untuk membolehkan mereka menjaga isteri dan bayi yang baru lahir.


“Syukur alhamdulillah, wanita bekerjaya di Sabah yang melahirkan anak kini layak bercuti bersalin selama 98 hari berbanding 60 hari sebelum ini, bapa pula layak mengambil cuti isteri bersalin selama tujuh hari.


“Selain itu, waktu bekerja buat pekerja di Sabah juga dikurangkan daripada 48 jam seminggu kepada 45 jam seminggu.


“Pindaan Ordinan Buruh Sabah juga membuat penambahan bab baharu 11B mengenai gangguan seksual dan yang berkaitan perumahan, penginapan serta kemudahan pekerja,” katanya.


Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, kerajaan negeri Sabah dan seluruh pasukan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang terbabit secara langsung atau tidak dalam merealisasikan pindaan Ordinan Buruh Sabah yang menandakan kejayaan untuk pekerja di Sabah.


Isnin lalu, persidangan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 selepas dibentang untuk bacaan pertama pada Julai lalu bertujuan menyelaras undang-undang perburuhan di Sabah dengan undang-undang dikuatkuasakan di Semenanjung.

Opmerkingen


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page