PIS Yakin Tubuh Kerajaan Negeri Selepas PRN17
- nabalunews
- Oct 12
- 1 min read

12 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Parti Impian Sabah (PIS) melancarkan manifesto pilihan raya parti dengan meletakkan 73 calon pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) melibatkan pelbagai etnik Sabah termasuk dari rumpun Filipina dan Indonesia.
Presiden PIS, Michel Alok berkata, antara kaum lain yang akan diletakkan sebagai calon ialah etnik tempatan antaranya Murut, Kadazan, Dusun, Suluk, Cina, Brunei, Bajau, Sungai, Rungus dan Tidung.
Katanya, beliau amat yakin, calon yang diletakkan mengikut komposisi kaum itu akan mampu membentuk kerajaan negeri selepas PRN nanti.

“PIS turut meletakkan 20 peratus calon muda dan wanita. Sehingga kini, kita mempunyai sudah 70 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala baki tiga kerusi akan diumumkan kemudian.
“Saya yakin PIS akan mampu menang dan seterusnya mentadbir negeri ini,”’katanya ketika ditemui pada sidang media selepas melancarkan manifesto PIS, di sini, semalam.
Michel berkata, setelah membentuk kerajaan, beliau akan menjemput presiden-presiden parti tempatan untuk duduk semeja dan bersama-sama bekerjasama kerana ia sudah menjadi impian rakyat Sabah yang mahu parti tempatan bekerjasama.
Katanya, kerjasama itu hanya direalisasikan selepas PRN kerana pada ketika ini PIS akan bergerak solo untuk membolehkan impian rakyat Sabah dicapai.
"Sekiranya PIS diberi mandat, kita akan memberikan semua kekayaan sumber alam Sabah kepada rakyat Sabah," katanya.
Michel berkata, rakyat Sabah sentiasa mengimpikan perubahan yang lebih baik untuk masa depan negeri Sabah.


















Comments