top of page

PKPB: SABAH BENAR PELANGGAN MAKAN DI PREMIS

  • nabalunews
  • Nov 11, 2020
  • 1 min read


10 NOV 2020


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah memutuskan supaya semua premis perniagaan makanan di negeri ini dibenarkan beroperasi untuk aktiviti 'dine-in' atau makan dalam kawasan premis bermula hari ini, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun Masidi, yang juga jurucakap COVID-19 negeri, berkata kebenaran itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan iaitu separuh daripada kapasiti saiz meja melibatkan dua orang bagi meja empat orang; tiga orang bagi meja enam orang serta empat orang bagi meja lapan orang.

“Selain itu penjarakan fizikal perlu dipatuhi dengan pematuhan terhadap SOP sektor makanan berkenaan. Pembelian makanan secara bawa pulang, penghantaran atau pandu lalu juga dibenarkan dengan pematuhan kepada SOP Sektor Makanan (Perniagaan Berpremis, Penjaja Tanpa Premis, Pasar Berbangunan dan Peruncitan/Serbaneka Makanan dan Minuman,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Masidi berkata semua restoran, kedai, gerai makan, kenderaan bersaji, penjaja, medan selera, kedai runcit dan kedai serbaneka hanya dibenarkan beroperasi setiap hari dari jam 6 pagi hingga 10 malam.

“Pasar raya, pusat beli-belah dan ‘retail store’ juga hanya dibenarkan beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan antara 6 pagi hingga 10 malam dan aktiviti sektor ekonomi dan industri di kawasan PKPB berjalan seperti ditetapkan kerajaan dengan pematuhan terhadap SOP,” katanya.

Pelaksanaan PKPB di Sabah yang sepatutnya tamat semalam, disambung sehingga 6 Dis ini berikutan masih terdapat penularan COVID-19 di negeri berkenaan.

Sabah mencatat 397 kes positif baharu COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 21,189 kes setakat ini.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page