PKPD di Kampung Garib, Kudat mulai 22 September ini

20 Sept 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Kampung Garib, Matunggong, Kudat bermula 22 September hingga 5 Oktober ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, PKPD di lokaliti berkenaan dilaksanakan setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19.
"Secara keseluruhannya, jumlah PKPD aktif setakat ialah sebanyak 32 lokaliti iaitu melibatkan 13 daerah dengan jumlah PKPD aktif yang tertinggi di Ranau dengan tujuh lokaliti," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, enam lokaliti PKPD melibatkan daerah Tawau, Papar, Kota Belud, Kudat dan Ranau akan ditamatkan seperti yang dijadualkan iaitu pada 21 September.
"Lokaliti tersebut ialah Kampung Tanjung Batu Tengah di Tawau, Taman Limauan di Kinarut, Papar, Kampung Pantai Emas dan Kampung Lentigi di Kota Belud, Kampung Mompilis di Matunggong, Kudat, dan Kampung Pahu Pinawantai di Ranau.
“Manakala PKPD di Kampung Lotong, Kota Marudu ditamatkan lebih awal dari yang dijadualkan iaitu pada 28 September kepada 21 September ini," katanya.
PKPD ditamatkan di lokaliti berkenaan setelah meneliti pembentangan oleh KKM mengenai situasi semasa, kata Masidi.
Comments