PKPD TUJUH KAMPUNG LIBATKAN NABAWAN, TAWAU, KUALA PENYU, SIPITANG, KOTA BELUD, MULAI 14 JUN
- Wartawan Nabalu News
- Jun 12, 2021
- 2 min read

12 Jun 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh lokaliti melibatkan daerah Nabawan, Tawau, Kuala Penyu, Sipitang dan Kota Belud berkuatkuasa 14 Jun sehingga 27 Jun ini.
Lokaliti-lokaliti itu ialah Kampung Indah Nabawan, Taman Kinabutan Ria dan Simpang Inderasabah Tawau, Kampung Manggis Kuala Penyu, Kampung Baru (SFI) Sipitang, Kampung Tawadakan dan Kampung Kota Bungan Kota Belud.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, sehingga kini berlaku peningkatan kes dalam tempoh seminggu di Kampung Indah Nabawan apabila sebanyak sembilan kes positif Covid-19 dilaporkan hasil 31 ujian saringan yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Indah, Nabawan selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, PKPD juga akan dikuatkuasakan di Taman Kinabutan Ria dan Simpang Inderasabah Tawau.
“Sehingga kini, sebanyak sembilan kes positif daripada 17 yang disaring telah direkodkan di Taman Kinabutan Ria manakala di Simpang Inderasabah, 12 disaring dan 11 daripadanya didapati positif Covid-19.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memutuskan rantaian jangkitan dengan menghalang
pergerakan masuk individu luar ke dalam kawasan ini,” katanya.
Katanya lagi, PKPD Kampung Manggis Kuala Penyu akan dilaksanakan kerana berlaku peningkatan kes dalam tempoh seminggu apabila sebanyak tujuh kes positif
Covid-19 dilaporkan hasil daripada 11 ujian saringan yang dilakukan oleh KKM.
Manakala bagi PKPD Kampung Baru (SFI), Sipitang pula, sehingga kini sebanyak 29 kes positif Covid-19 telah dilaporkan hasil daripada 46 ujian saringan yang dilakukan oleh KKM.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” katanya.
Masidi berkata, dua lokaliti di Kota Belud iaitu Kampung Tawadakan dan Kampung Kota Bungan juga dibawah PKPD berkuatkuasa 14 Jun ini.
“KKM mendapati berlaku peningkatan kes apabila sebanyak 12 kes telah dikesan dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di kedua-dua lokaliti ini,” katanya.
Comments