top of page
  • Wartawan Nabalu News

PKR cadang PH letak calon Parlimen Kota Belud pada PRU-15


Mustapha dan Ewon

5 Feb 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kota Belud mencadangkan agar Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon untuk Parlimen Kota Belud dengan menggunakan logo parti itu, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).


Ketua Cabang PKR Kota Belud Mustapha Sakmud berkata, calon yang akan bertanding bagi pihak PH akan diputuskan pada masa yang sesuai.


“Keperluan sekarang adalah untuk memantapkan jentera parti masing-masing dan bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-15,” katanya semasa retreat di Pusat Eko Pelancongan Tindian Komujo, di sini, baru-baru ini.


Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick bahawa parti itu tidak akan meletakkan calon Parlimen Kota Belud pada PRU-15.


Ewon yang juga Ketua Bahagian UPKO Kota Belud dipetik sebagai berkata, parti itu tidak bercadang meletakkan calon di parlimen Kota Belud tetapi akan mempertahankan DUN Kadamaian.


“Upko kini berada dalam PH dan saya fikir kita perlu menyokong calon yang akan diletakkan oleh pucuk pimpinan sama ada daripada gabungan PH atau rakan PH," katanya.


Mustapha yang juga Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri PKR berkata, atas dasar keluarga besar PH mereka akan bermesyuarat bersama UPKO, DAP dan AMANAH diperingkat Kota Belud untuk memuktamadkan cadangan tersebut.


“Kita juga akan membuka ruang kerjasama dengan parti-parti politik lain yang bersetuju dengan Agenda Reformasi Sabah dan pencalonan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia bagi menyelamatkan negara ini dari terus merudum dari segi pencapaian ekonomi,” katanya.


Dalam reatret itu, mereka turut menekankan kepentingan pengundi muda 18 tahun yang akan mula mengundi pada PRU15.


“Di kawasan Parlimen Kota Belud, dianggarkan kira-kira 20,000 pemilih adalah golongan muda. Parti akan menggerakkan jentera anak muda dan media sosial untuk menarik minat pengundi muda memilih PH dan komponen partinya,” kata Mustapha.



bottom of page