PLAS anjur kursus penanaman lada hitam di Kota Belud
- nabalunews
- Nov 7, 2024
- 1 min read

7 November 2024
KOTA BELUD: Lada hitam adalah sejenis tanaman berkualiti tinggi, menjadikannya produk pertanian yang mendapat permintaan tinggi di pasaran antarabangsa.
Negara seperti India, Amerika Syarikat, dan negara-negara Eropah adalah pengimport utama lada hitam.
Menyedari potensinya, satu program kursus asas penanaman lada hitam akan berlangsung pada Sabtu ini, 9 November, bertempat di Dewan Serbaguna Pejabat Perhubungan ADUN Kadamaian, Kota Belud.
Program anjuran Persatuan Penanam dan Pengusaha Lada Hitam Sabah (PLAS) ini adalah peluang keemasan.bagi mereka yang berminat dalam bidang penanaman dan keusahawanan lada hitam.
Menurut Ketua Pegawai Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Carlye Lajimin, kursus ini akan berlangsung dari pukul 9.00 pagi hingga 2.30 petang dan terbuka kepada 150 peserta tanpa sebarang yuran penyertaan.
Sarapan pagi dan makan tengah hari disediakan untuk memastikan keselesaan para peserta.
Kursus ini menampilkan dua sesi ceramah daripada pakar dalam industri lada hitam, iaitu Zita Bolingkong, Setiausaha PLAS dan seorang usahawan lada hitam yang berjaya, serta Benjamin Yanggau, Timbalan Setiausaha PLAS.
Peserta akan menerima panduan praktikal berkaitan penanaman dan pengurusan perniagaan lada hitam di Sabah. Mereka juga berpeluang berinteraksi dan mengajukan soalan mengenai industri dan keusahawanan dalam sesi soal jawab.
Selain itu, Zita akan berkongsi pengalaman beliau dalam keusahawanan dan penanaman lada hitam, memberi motivasi dan inspirasi kepada peserta.
Pengerusi PLAS, Dennison R. Indang, yang juga Ahli Lembaga Pengarah Lada Malaysia, serta Timbalan PLAS, Reggy Walter, akan turut hadir untuk menyokong program ini sekaligus menunjukkan dedikasi PLAS dalam memperkukuhkan industri penanaman lada hitam di Sabah.
Comentários