Plat SMJ dikhaskan untuk kenderaan kerajaan Sabah - Hajiji
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Plat SMJ dikhaskan untuk kenderaan kerajaan Sabah - Hajiji


9 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KINABATANGAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersetuju menjadikan cogan kata rasmi Sabah 'Sabah Maju Jaya' (SMJ) sebagai nombor plat khas kenderaan kerajaan Sabah.


Beliau berkata, SMJ kini diiktiraf bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat kerajaan Persekutuan melalui JPJ.


"JPJ mengkhaskan plat SMJ kepada kerajaan negeri sebagai pengiktirafan bahawa ia adalah satu hala tuju yang baik untuk Sabah," katanya pada Majlis Himpunan Gagasan Rakyat Bahagian Sukau-Lamag di Dataran Pekan Sukau, Kinabatangan, pada Sabtu.


Tambah beliau, SMJ adalah cogan kata yang mesti diperkasa dan dimartabat kerana ia melambangkan pelan pembangunan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memajukan negeri ini.


"Inipun SMJ jadi kritikan. Mereka yang dengki dengan kita, mereka yang dulu tiada hala tuju, kerana itu selalu mereka mempunyai fikiran negatif dan cakap SMJ jalan berlubang, SMJ air tiada," katanya.


Beliau juga menyatakan, banyak inisiatif di bawah SMJ yang sudah berjaya dilaksanakan termasuk bantuan kewangan untuk anak-anak Sabah melanjutkan pengajian di peringkat diploma dan ijazah.


Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi GRS yakin Gagasan Rakyat mempunyai masa depan yang cerah untuk menarik sokongan rakyat di seluruh negeri termasuk di kawasan Lamag dan Sukau.


"Gagasan Rakyat adalah parti tempatan yang kita tubuhkan untuk teruskan perjuangan di Sabah dan ia adalah ahli GRS kerana dalam GRS kita ada tujuh parti yang akan memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah pada masa akan datang," katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page