top of page
nabalunews

PM Anwar Gesa KUSKOP Perbanyak Program Berkaitan Komuniti India


29 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk mempertingkatkan usaha penyelarasan dan memperluaskan program yang melibatkan komuniti India di negara ini.


Beliau berkata Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Seri R Ramanan, telah diberikan tanggungjawab untuk menyelia pelaksanaan program-program berkenaan yang bertujuan memastikan peruntukan dalam Belanjawan 2025 bagi komuniti India disalurkan dengan berkesan dan mencapai matlamat yang ditetapkan.


Anwar berkata perkara itu diputuskan dalam pertemuan beliau bersama pengurusan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dan beberapa Ahli Parlimen yang mewakili masyarakat India, bagi membincangkan pandangan idea untuk terus memperkasakan komuniti India.


“Saya tegaskan pendirian kerajaan untuk terus memperhebat inisiatif bagi memberdayakan komuniti India di negara ini, khususnya menerusi MITRA.


Ini termasuklah menerusi peruntukan yang telah saya umumkan dalam Belanjawan 2025 untuk melaksanakan pelbagai program, termasuk pembiayaan perniagaan komuniti India,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, lapor Bernama.


Beliau berkata dengan iltizam kerajaan serta sokongan semua pihak khususnya daripada pimpinan masyarakat India, ia diharap akan terus memperkukuh MITRA dan merealisasikan hasrat untuk memartabatkan masyarakat India di negara ini.


Menerusi Belanjawan 2025, Anwar mengumumkan peruntukan sebanyak RM130 juta untuk melaksanakan pelbagai program, termasuk pembiayaan perniagaan komuniti India.

Comments


bottom of page