top of page

PM Anwar: Kerajaan Persekutuan dan Negeri Percepat Usaha Pemulihan Pasca Banjir

  • nabalunews
  • Sep 19
  • 2 min read

ree

19 September 2025


KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua langkah pemulihan pasca banjir di Sabah dipercepatkan dengan kerjasama penuh antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.


Menurutnya, sebaik tiba dari Doha, beliau telah mengarahkan seluruh jentera kerajaan pusat digerakkan termasuk meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta bagi membantu keperluan segera mangsa banjir.


“Setakat ini, fokus kita adalah memastikan kebajikan keluarga terjejas, termasuk makan minum, penempatan sementara dan kemudahan asas mereka.

ree

“Selepas itu, tumpuan beralih kepada soal prasarana seperti jalan raya dan institusi pendidikan yang turut terkesan,” katanya.


Anwar menegaskan, begitu juga dengan Institut Perguruan Gaya (IPG) yang rosak akibat bencana merupakan antara keutamaan kerajaan.


Katanya, Kementerian Pendidikan telah membentangkan laporan awal kepada Jemaah Menteri pada minggu lalu dan laporan penuh dijangka disiapkan dalam masa terdekat.

ree

“Saya tidak mahu proses biasa digunakan kerana kerosakan akibat banjir ini adalah luar biasa. Kalau ikut prosedur normal, ia akan mengambil masa terlalu lama. Jadi, saya minta proses ini dipercepatkan,” tegasnya.


Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Kerajaan Negeri serta semua agensi persekutuan dan negeri yang telah bertungkus-lumus membantu, termasuk pasukan tenaga dan elektrik yang berkorban masa serta tenaga bagi memulihkan keadaan.


Mengenai jumlah kos keseluruhan yang diperlukan untuk pemulihan, Anwar berkata ia masih belum dimuktamadkan, namun memberi jaminan bahawa segala peruntukan tambahan yang diperlukan akan disegerakan.


“Setakat ini, selain RM10 juta yang sudah diagihkan, kita juga menyalurkan RM1.5 juta dan RM300 ribu kepada beberapa bahagian mengikut keperluan. Sama ada di bawah tanggungan negeri atau Persekutuan, saya akan pastikan semua dilaksanakan segera,” jelasnya.


Beliau turut menegaskan bahawa bantuan kepada mangsa bukan sekadar berbentuk wang tunai, tetapi lebih penting menyediakan tempat tinggal selesa, kemudahan asas, serta keperluan pendidikan anak-anak mereka.


“Yang penting adalah perumahan, barang-barang sekolah dan kemudahan asas. Itu yang kita selesaikan dahulu,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page