PM Anwar tegaskan kerajaan prihatin terhadap kos sara hidup rakyat
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PM Anwar tegaskan kerajaan prihatin terhadap kos sara hidup rakyat


1 April 2024

By Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kritikan yang mengatakan kerajaan tidak prihatin dan tidak memahami permasalahan yang dihadapi rakyat, terutama yang berkaitan dengan kos sara hidup, adalah tidak benar.


Menurut Perdana Menteri, harga barang keperluan seperti ayam, telur, dan minyak masak sebenarnya masih rendah dan stabil jika dibandingkan dengan zaman pentadbiran kerajaan sebelumnya.


"Saya bagi contoh umpamanya, tahun 2021 sebelum pertukaran kerajaan, berapa harga ayam? Sampai RM13 sekilogram (kg), sekarang jauh lebih rendah… minyak masak lima kg ketika itu mencecah RM45, jadi kawan pembangkang saya bising tetapi dia lupa dan dia ingat kita pun lupa," katanya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, pada Isnin.


Anwar tidak menafikan bahwa walaupun pihak kerajaan sedang melakukan sebaik mungkin soal kos sara hidup, namun, dunia kini berdepan keadaan ekonomi mencabar.


Kata Perdana Menteri, biarpun isu beras masih lagi berdepan masalah terutama beras tempatan, namun, ketegasan kerajaan serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyaksikan penurunan harga beras import antara RM2 hingga RM3.


Demikian juga dengan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), jelas Anwar, yang disalurkan pada Januari lalu, meningkat lima kali ganda.


"Tahun 2023 (peruntukan) RM130 juta, 2024 (peruntukan) RM700 juta, penerima dahulu untuk 2023 hanya miskin tegar yang terima, untuk 2024 kita tingkatkan untuk miskin tegar dan miskin, 700,000 orang yang peroleh," katanya.


Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah reformasi awal yang dilaksanakan kerajaan berhasil meningkatkan pelaburan selain mendapat pengiktirafan dari negara luar.


Beliau berkata, langkah itu termasuk penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023 yang menjadikan kerajaan lebih berdisiplin dalam pengurusan ekonomi serta fiskal.

bottom of page