PM Anwar ungkap agenda reformasi sebagai kunci pembangunan ekonomi global
17 Mac 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
HAMBURG: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa agenda reformasi yang dilaksanakan oleh Malaysia adalah kunci untuk pembangunan bersama ekonomi dunia yang tidak terikat dengan dikotomi timur-barat.
"Langkah-langkah reformasi struktur yang sedang dilaksanakan akan memberi manfaat besar kepada perniagaan," kata Anwar.
"Ia akan beri manfaat langsung kepada perniagaan dan pelabur dengan mengurangkan kos perniagaan, membina keyakinan kepada sistem di Malaysia dan akhirnya memastikan kelangsungan pelaburan untuk jangka panjang,” katanya dalam ucapan beliau pada Makan Malam Persahabatan Asia Timur ke-101 yang dihoskan oleh Pertubuhan Perniagaan Jerman Asia Pasifik (OAV).
Jelas Anwar, Kerangka Ekonomi Madani mengandungi komitmen negara untuk melonjak nama Malaysia sebagai peneraju ekonomi di Asia, sekali gus menjana pembangunan mampan dan inklusif.
“Ini, seterusnya menjadikan Malaysia sebagai pusat ekonomi dengan mengekalkan hubungan bilateral yang baik dengan Jerman dan Eropah (dan) meneruskan kolaborasi yang kukuh dengan Amerika Syarikat.
“Pada masa sama, mengusahakan perkongsian strategik baharu dengan China, Korea Selatan, Jepun, India dan Australia,” katanya.
Dalam ucapan yang sama, Anwar mengutip pujangga pemikir Jerman, Johann Wolfgang von Goethe, yang menekankan kepentingan membina jambatan persefahaman budaya antara timur dan barat.
Amwar mengaitkan falsafah Goethe dengan hasrat yang cuba dikecapi Malaysia iaitu persefahaman ekonomi dan budaya antara timur dan barat.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri sekali lagi menekankan kepentingan Jerman sebagai rakan dagang penting bagi Malaysia.
“Malaysia merupakan rakan dagang terbesar Jerman di Asia Tenggara, dan Jerman merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di Eropah. Lebih 700 syarikat Jerman seperti Allianz hingga ZF Group telah membuka operasi di Malaysia."
Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Jerman bermula sejak 11 Mac dan berakhir pada Jumaat.
Comments