PM lulus peruntukan segera RM10 juta bantu mangsa banjir Sabah
- nabalunews
- Sep 15
- 1 min read

15 September 2025
KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan segera sebanyak RM10 juta bagi membantu mangsa banjir di Sabah yang kini berdepan kesukaran akibat bencana itu.
Beliau berkata, peruntukan yang disalurkan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu akan disalurkan terus kepada mangsa yang terkesan khususnya untuk pembaikan segera kemudahan asas.
"Selain peruntukan sebanyak RM11 juta telah disalurkan melalui kerajaan negeri, saya telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM10 juta melalui Nadma bagi disalurkan terus kepada mangsa terkesan.
"Kerajaan Madani akan memastikan setiap keluarga terkesan segera menerima bantuan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri turut menzahirkan rasa terkesan dengan bencana banjir yang sedang melanda Sabah ketika ini.
Justeru katanya, beliau telah mengarahkan seluruh jentera Kerajaan Madani digerakkan dengan kadar segera untuk membantu rakyat terjejas agar bantuan dapat sampai tanpa sebarang gangguan.
“Keutamaan kita adalah memastikan keselamatan, kebajikan dan kelangsungan hidup mangsa banjir dibela sebaiknya dengan tumpuan segera," ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar turut menyeru semua pihak untuk bersatu dan berpadu tenaga serta mengutamakan semangat ihsan demi membantu mangsa banjir.
“Zahirkan semangat kebersamaan dan kepedulian serta tanggungjawab bersama dalam menempuh ujian dahsyat ini,” katanya.


















Comments