PM pantau proses evakuasi rakyat Malaysia dari Asia Barat
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

9 Mac 2026
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memantau secara serius operasi evakuasi rakyat Malaysia dari zon konflik di Asia Barat setelah pengesahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN hari ini.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Pejabat Perdana Menteri (PMO) juga sedang giat memantau serta meneliti perkembangan perang yang di rantau berkenaan.
“Perdana Menteri turut menekankan nyawa setiap rakyat Malaysia, diutamakan dalam apa juga situasi terutamanya keadaan kritikal yang tidak menentu.
“Mengambil keberkatan Ramadan, Perdana Menteri mendoakan agar keseluruhan operasi evakuasi zon konflik di Asia Barat dipermudah, berjalan lancar dan semua rakyat Malaysia yang terjejas dapat dibawa pulang dengan selamat,” katanya dalam taklimat media Pejabat Perdana Menteri, menerusi Facebook.
Terdahulu, MKN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kerajaan kini berada pada fasa akhir persiapan bagi melaksanakan operasi evakuasi rakyat Malaysia dari beberapa negara yang terjejas akibat konflik di Asia Barat, susulan perkembangan keselamatan yang kian meruncing di rantau itu.
Menurut MKN, proses evakuasi dilaksanakan atas arahan Perdana Menteri agar semua langkah yang perlu digerakkan segera bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di kawasan terlibat sentiasa terpelihara.
MKN akan menyelaras operasi tersebut menerusi kerjasama rapat dengan Kementerian Luar Negeri (KLN) melalui pejabat Perwakilan Malaysia di negara-negara berkaitan, dan akan menyalurkan perkembangan operasi secara berkala sehingga proses membawa pulang rakyat Malaysia selesai.















Comments