PMKS sumbang RM652.4 bilion kepada KDNK pada 2024: Ewon
- nabalunews
- 20 hours ago
- 2 min read

4 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) mencatatkan prestasi cemerlang dengan menyumbang sebanyak RM652.4 bilion atau 39.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2024.
Beliau berkata, pencapaian itu mencerminkan daya tahan dan kebolehan PMKS untuk terus berkembang meskipun berdepan dengan ketidaktentuan global dan cabaran ekonomi semasa.
“PMKS mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.8 peratus pada tahun 2024, mengatasi prestasi ekonomi negara yang berkembang 5.1 peratus dan firma bukan PMKS sebanyak 4.7 peratusl,” katanya pada sidang media Pengumuman Prestasi PMKS 2024, di SME Corp.Malaysia, di sini, hari ini.
Ewon berkata, pertumbuhan itu dipacu oleh sektor pembinaan yang mencatatkan kadar pertumbuhan dua digit sebanyak 17.3 peratus, tertinggi dalam tempoh satu dekad khususnya dalam subsektor pertukangan khas seperti kerja penyiapan dan kemasan bangunan.

Katanya lagi, Malaysia kini mempunyai 1.09 juta pertubuhan PMKS, mewakili 96.1 peratus daripada keseluruhan perniagaan di negara ini pada tahun 2024.
Dalam pada itu katanya, eksport PMKS melonjak 31.3 peratus kepada RM196.8 bilion, berbanding hanya RM149.9 bilion pada 2023, peningkatan hampir RM50 bilion. Sumbangan PMKS kepada keseluruhan eksport negara juga meningkat kepada 14.3 peratus, berbanding 12 peratus pada tahun sebelumnya.
Menurutnya lagi, peningkatan drastik itu dipacu oleh sektor perkhidmatan, yang mencatat pertumbuhan hampir dua kali ganda daripada RM33.2 bilion kepada RM71.3 bilion, didorong oleh pertumbuhan pesat dalam industri berkaitan pelancongan.
Dari segi pasaran pekerja pula, Ewon berkata, PMKS menggaji seramai 8.1 juta pekerja, meningkat 3.1 peratus atau tambahan hampir 250,000 pekerja berbanding tahun sebelumnya.
“Justeru, sumbangan PMKS kepada jumlah guna tenaga meningkat kepada 48.7 peratus pada tahun 2024 berbanding 48.5 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya.
Mengenai prospek ekonomi semasa, beliau berkata beberapa cabaran luar negara dijangka memberi kesan kepada pertumbuhan PMKS pada tahun 2025.
“Bank Negara Malaysia telah menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi kepada antara 4 hingga 4.8 peratus, berbanding unjuran asal 4.5 hingga 5.5 peratus,” katanya.
Tambahnya, ketegangan geopolitik dan tindakan balas tarif sebanyak 19 peratus oleh Amerika Syarikat terhadap produk dari Malaysia turut dijangka memberi kesan kepada PMKS, khususnya dalam sektor eksport.
Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia, Amerika Syarikat kini menjadi antara tiga pasaran eksport utama bagi sektor pembuatan PMKS, dengan sumbangan meningkat daripada 7.5 peratus pada 2019 kepada 12.3 peratus pada 2024.
“Ini menandakan kebergantungan eksport PMKS yang tinggi kepada Amerika Syarikat, lantas menunjukkan keperluan untuk PMKS meneroka lain-lain pasaran baharu sebagai langkah mengurangkan risiko ketidaktentuan global bagi memastikan kemampanan perniagaan dalam jangka masa panjang,” katanya.
Ewon berkata potensi PMKS dalam rantaian nilai global boleh dipertingkatkan menerusi penggunaan sepenuhnya perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang ditandatangani Malaysia.
“FTA bukan sahaja membuka akses kepada pasaran baharu yang lebih luas, malah menawarkan pengurangan tarif, duti import dan peningkatan kerjasama perdagangan rentas sempadan.
“Hasil Tinjauan PMKS 2025 oleh SME Corp. Malaysia mendapati hanya 7 peratus responden memanfaatkan FTA, terutama FTA ASEAN, FTA ASEAN–China dan RCEP,” katanya.
Beliau menegaskan usaha meningkatkan kesedaran dan penggunaan FTA dalam kalangan PMKS akan dipergiatkan bagi mengukuhkan pengantarabangsaan sektor tersebut.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia Dato’ Ramanan Ramakrishnan, Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi SME Corp. Malaysia Tan Sri Bernard Giluk Dompok, Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia Rizal Dato’ Nainy.
Comments