POIC Sandakan terus menarik pelaburan
5 November 2024
SANDAKAN: Nextgreen Global Berhad (NGGB) telah menyediakan pelan pelaksanaan operasi di kawasan seluas 410 ekar milik Sawit Palm Oil Industrial Cluster Sdn. Bhd. (SPOIC) di Sandakan, bagi merealisasikan pelaburan bernilai RM60 juta di Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Sandakan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin turut memaklumkan bahawa NGGB sedang dalam proses menyediakan draf perjanjian yang dijangka dapat dimuktamadkan pada awal tahun hadapan.
Chan menjawab soalan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee dalam sesi kamar khas persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini.
Chan menjelaskan bahawa delegasi dari Sabah yang terdiri daripada wakil Kumpulan Sawit Kinabalu, Kementerian Perindustrian, Pembangunan dan Keusahawanan (MIDE) Sabah, Kementerian Kewangan (MOF) Sabah, Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), dan Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) bersama-sama dengan wakil Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur serta perunding Deloitte, telah menyertai lawatan rasmi ke NGGB di Pekan, Pahang, pada 27 September lalu.
Lawatan ini bertujuan untuk memahami dengan lebih jelas berkaitan operasi kilang kertas dan pulpa (Pulp and Paper) di NGGB.
Ujar beliau, hasil lawatan, delegasi terlibat juga telah mendapat maklum balas positif berkenaan perkembangan pelaburan NextGreen di Sandakan.
Comments