Polis keluarkan 20 saman dalam operasi banteras lumba haram
- nabalunews
- Oct 1
- 1 min read

1 Oktober 2025
TAWAU: Sebanyak 20 saman dikeluarkan polis dalam Operasi Bersepadu bagi membanteras kegiatan lumba haram di KM45 Jalan Tawau - Semporna, pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, antara kesalahan paling banyak dikesan adalah membabitkan motosikal tanpa cermin sisi dan ubah suai ekzos.
“Selain itu, nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi, tiada lesen memandu dan aksesori tidak sempurna turut dikesan,”katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya, dalam operasi tersebut, pasukannya memeriksa 19 buah motosikal melibatkan 19 penunggang lelaki, manakala tiada tangkapan atau sitaan dibuat sepanjang operasi.
Katanya, operasi itu bermula jam 5.01 petang hingga 9 malam itu, melibatkan 19 anggota iaitu 17 anggota Balai Polis Bandar Sri Indah dan dua anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Tawau.
Mengulas lanjut, beliau berkata operasi bersepadu seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta membanteras kegiatan lumba haram di daerah ini.
Beliau juga mengingatkan orang ramai, khususnya golongan muda, agar tidak terlibat dalam aktiviti lumba haram yang bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
“PDRM akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,”katanya.


















Comments