Polis kesan sindiket penipuan salah guna MyBayar PDRM
- nabalunews
- Jan 3
- 1 min read

3 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan taktik penipuan yang menyalahgunakan nama PDRM dan MyBayar PDRM, kononnya berkaitan tunggakan tol atau kesalahan trafik.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM memaklumkan, modus operandi sindiket itu membabitkan penghantaran mesej mengandungi pautan dan paparan laman web yang menyerupai portal rasmi PDRM.
“Mangsa akan diarahkan untuk menekan butang ‘Pay Now’ bagi mengisi maklumat peribadi atau perbankan.
“PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak pernah menghantar notis bayaran melalui pautan rawak atau aplikasi WhatsApp,” katanya menerusi hebahan di media sosial, hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuka sebarang pautan mencurigakan atau mendedahkan maklumat perbankan kepada pihak tidak dikenali.
PDRM menegaskan, sebarang maklumat berkaitan saman atau bayaran hendaklah disahkan melalui laman web rasmi atau kaunter agensi kerajaan berkaitan.
Selain itu, PDRM turut menggesa orang ramai melaporkan sebarang cubaan penipuan kepada pihak polis atau Pusat Respons Scam Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) bagi tindakan lanjut.


















Comments