top of page

Polis Rampas Syabu Bernilai RM15,000 Di Kudat, Lelaki Tempatan Ditahan

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns


18 Mac 2026


KUDAT: Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun ditahan selepas didapati memiliki dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM15,000 dalam serbuan di Kampung Landung Ayang Laut, awal pagi semalam.


Ketua Polis Daerah Kudat, Superintenden Mohd Haris Hj Ibrahim mengesahkan bahawa sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat yang sedang melakukan rondaan Op Tapis telah membuat pemeriksaan di sebuah rumah tanpa nombor di kampung berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah malam.


Hasil pemeriksaan terhadap suspek yang berada di dalam rumah tersebut telah menemui satu kotak berwarna oren. Pemeriksaan lanjut ke atas kotak berkenan menemui enam paket plastik lutsinar berisi hablur kristal yang disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 150 gram dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM15,000.


Suspek yang tidak bekerja dan merupakan penduduk tempatan itu turut didapati positif dadah jenis methamphetamine hasil ujian saringan air kencing. Semakan rekod lampau mendapati lelaki berkenaan mempunyai beberapa rekod kesalahan berkaitan dadah dan pernah menjalani hukuman penjara di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.


Siasatan awal juga mendapati suspek mengakui bahawa barang kes tersebut adalah miliknya dan diperoleh daripada seorang lelaki yang kini sedang ditahan reman atas kesalahan dadah untuk membantu siasatan polis.


Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.

Suspek kini telah direman bagi membantu siasatan lanjut.


Pihak Polis Daerah Kudat akan terus mempergiatkan usaha membenteras aktiviti pengedaran dadah di daerah ini dan menyeru orang ramai untuk bersama-sama menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah kepada pihak polis.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page