Polis tahan pemandu van bersama rokok seludup
- nabalunews
- Mar 23
- 1 min read

23 Mac 2025
TAWAU: Seorang pemandu van ditahan bersama pelbagai rokok seludup dalam serbuan di Jalan Sin Onn Tiku, di sini, awal pagi semalam.
Dalam operasi jam 1.50 pagi itu, lelaki berusia 25 tahun terbabit ditahan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas maklumat, pasukan operasi berjaya menahan sebuah van dipandu seorang lelaki tempatan.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap van dipandu suspek, pasukan polis menemui pelbagai jenis rokok seludup yang disimpan di bahagian belakang kenderaan berkenaan.
“Seorang lelaki yang juga pemandu van terbabit terus ditahan di lokasi serbuan untuk tindakan selanjutnya.
“Suspek ditahan selepas dipercayai berperanan sebagai penghantar semua rokok seludup berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, pihak polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti rangkaian penyeludupan rokok berkenaan.
Katanya, jumlah rampasan masih dalam proses penilaian, namun dipercayai mencecah ribuan ringgit berdasarkan jumlah kotak rokok yang ditemui.
“Suspek akan disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan tanpa kelulusan pihak berkuasa,” katanya.
Sementara itu, Jasmin berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan.
“Aktiviti itu bukan saja merugikan negara dari segi cukai, tetapi juga boleh membawa kepada aktiviti jenayah lain.
“Justeru itu, orang ramai digesa menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti penyeludupan di kawasan mereka bagi membanteras kegiatan haram ini,” katanya.
Comments