Polis Terima 110 Laporan Sepanjang PRU Sabah
- nabalunews
- 12 minutes ago
- 2 min read

27 November 2025
KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah menerima sebanyak 110 laporan polis sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRU Sabah).
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, statistik berkenaan menunjukkan penurunan lebih 50 peratus berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2020.
Katanya, ia jelas menunjukkan tahap kematangan politik, disiplin serta profesionalisme dalam kalangan masyarakat menghadapi suasana pilihan raya di negeri ini.
“Penurunan ketara jumlah laporan polis membuktikan kerjasama padu semua pihak dalam memastikan perjalanan kempen berlangsung dalam suasana aman, tertib dan terkawal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran pergerakan lebih 8,000 pegawai dan anggota ke seluruh daerah di Sabah bagi melaksanakan tugas keselamatan PRU Sabah.
Jauteh berkata, penugasan bantuan ini bagi memastikan kelancaran proses pengundian yang dijadual bermula pada 29 November selain mengekalkan ketenteraman awam di semua kawasan.
Sehubungan itu, Jauteh menasihatkan orang awam yang mula bergerak pulang ke daerah masing-masing untuk mengundi supaya membuat persiapan rapi sebelum memulakan perjalanan.
Katanya, pengguna jalan raya diingatkan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, selain menjaga tahap kesihatan sebelum memandu pada jarak jauh.
“Kita menjangkakan peningkatan jumlah kenderaan di semua laluan utama bermula Jumaat susulan pergerakan pengundi ke kawasan masing-masing.
“Sehubungan itu, masyarakat diseru supaya terus mematuhi peraturan jalan raya, mengamalkan pemanduan berhemah dan bertimbang rasa bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Sementara itu, ditanya berkenaan kemungkinan berlakunya isu provokasi, Jauteh memaklumkan anggota sudah ditempatkan di lokasi strategik yang dikenal pasti berisiko berlaku insiden.
“Walaupun kita sudah menempatkan pihak polis di lokasi terbabit, orang awam atau mana-mana pihak yang berdepan sebarang bentuk provokasi disaran membuat laporan segera supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
“PDRM menegaskan semua pihak perlu mengelakkan sebarang perkara yang boleh mencetuskan ketegangan demi memastikan suasana pilihan raya kekal aman sehingga hari pengundian.
“Dengan baki tempoh kempen yang semakin singkat, pihak polis berharap momentum positif yang ditunjukkan setakat ini dapat dikekalkan sehingga selesai proses pengundian dan pengiraan undi,” katanya.


















Comments