Polis Tingkatkan Pemantauan Trafik Melalui Udara Sempena OP Selamat 26/2026
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

20 Mac 2026
KOTA KINABALU: Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kota Kinabalu meningkatkan pemantauan trafik melalui udara dengan kerjasama Pasukan Gerakan Udara (PGU) Sabah sempena Op Selamat 26/2026.
Pemantauan menggunakan helikopter Agusta AW139 itu dijalankan selama satu jam bermula 10.30 pagi, melibatkan laluan utama di daerah Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang dan Papar.
Dalam kenyataan menerusi laman sosial facebook rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, antara laluan terlibat ialah Jalan Lintas, Jalan Tuaran Bypass, Jalan Tebobon, Jalan Kepayan, Jalan UMS, Jalan Sulaman dan Pekan Tuaran.

Selain itu, katanya, pemantauan turut dilakukan sekitar Tamparuli, Jalan Papar Lama serta Jalan Pan Borneo di Benoni.
“Selain menilai aliran trafik semasa, pemantauan turut memberi tumpuan kepada pergerakan kenderaan berat bagi memastikan pematuhan terhadap sekatan yang dikuatkuasakan sepanjang Op Selamat.
“Hasil pemantauan mendapati aliran trafik secara keseluruhan berada dalam keadaan lancar dan terkawal pada tahap 80 peratus, termasuk laluan sempadan Kota Kinabalu ke Tuaran, Papar dan Penampang,” katanya.
Menurutnya, pemantauan udara itu dilaksanakan bagi membolehkan tindakan awal diambil sekiranya berlaku kesesakan, khususnya sepanjang musim perayaan.















Comments