top of page

Polis Tumpaskan Kes Pecah Rumah Dan Curi Kenderaan

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read

ree

23 Disember 2025


KOTA KINABALU: Polis berjaya menumpaskan satu kes pecah rumah dan melarikan kenderaan susulan tangkapan dua individu dalam operasi khas yang dijalankan di sekitar kawasan Menggatal, semalam.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata kes berkenaan berjaya diselesaikan hasil dua sernuan berasingan dalam tempoh kurang dari 24 jam.


Katanya, tangkapan berjaya dibuat hasil tindakan pantas dan risikan terperinci oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

ree

Katanya, kedua-dua suspek terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita tempatan berusia dalam lingkungan 30-an.


"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terlibat dalam satu kes utama pecah rumah dan curi kenderaan yang berlaku di kawasan Taman Ujana Kingfisher, di sini.


“Selain itu, suspek turut dipercayai mempunyai kaitan dengan tiga lagi kes pecah rumah di sekitar daerah Luyang dan Menggatal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

ree

Menurutnya, hasil tangkapan berkenaan, pihak polis turut berjaya membuat rampasan pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah, kenderaan, peralatan pecah rumah yang diubah suai, telefon bimbit pelbagai jenama, jam tangan pintar, komputer tablet, kamera digital, beg tangan serta barangan peribadi lain.


Katanya, hasil semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau yang panjang melibatkan kesalahan pecah rumah, curi dan kes berkaitan dadah.


“Manakala seorang lagi suspek turut mempunyai rekod jenayah terdahulu berkaitan kes yang sama.


"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati hanya seorang suspek didapati positif dadah, manakala seorang lagi negatif," katanya.


Kasim berkata, semua suspek kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan dalam kes-kes jenayah lain di sekitar daerah ini.


Sehubungan itu, Kasim menegaskan komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya IPD Kota Kinabalu dalam membanteras jenayah harta benda.


Katanya, orang ramai diseru agar terus bekerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah demi keselamatan bersama.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page