PPM rampas rokok seludup dan tahan warga Pakistan
- nabalunews
- 2 minutes ago
- 1 min read

24 Mei 2025
KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM), berjaya merampas pelbagai jenis rokok yang dipercayai diseludup dalam serbuan di sebuah premis di Kampung Kumbabangan Paitan, Beluran, semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 6 pagi itu, semua rokok yang tidak bercukai itu dianggarkan bernilai RM168,060.
Malah, pasukan operasi turut berjaya menahan seorang lelaki warga Pakistan berusia 41 tahun untuk siasatan lanjut.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, serbuan dijalankan hasil daripada maklumat dan pemantauan Unit Risikan Marin.
"Hasil pemantauan berjaya mengesan pergerakan seorang lelaki yang mencurigakan dan dipercayai sedang menjalankan urus niaga rokok.
"Pasukan operasi terus melakukan serbuan dan pemeriksaan sebelum menahan lelaki terbabit yang mengaku bekerja sebagai pembantu kedai," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap premis berkenaan dengan saksikan suspek kemudiannya menemui longgokan kotak berisi rokok pelbagai jenis disyaki tidak bercukai.
"Antara jenama rokok yang dirampas iaitu Era Premium, Era Black Menthol, Tex Light, Grow, Neslite Max, A Satu Mild, A Satu Mild Menthol Gajah Baru dan Harmoni.
“Siasatan masih dijalankan mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.
Sehubungan itu, Nazri berkata, PPM Wilayah Empat Sabah akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara.
Kommentare